AM

Hospital Pengajar Usim Tingkat Keperluan Perkhidmatan Perubatan Di Kota Tinggi

27/11/2023 02:43 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 Nov (Bernama) -- Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang akan dibina di Sedili, Kota Tinggi dijangka dapat membantu menampung kepadatan pesakit sedia ada di Hospital Kota Tinggi sekali gus meningkatkan keperluan perkhidmatan perubatan di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata selain itu, Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Kota Tinggi Jenis 3 dengan peruntukan RM24.97 juta yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap serta beroperasi pada hujung tahun depan itu juga mampu mengatasi isu berkenaan.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas, kerajaan bersetuju melaksanakan pembinaan Hospital Pengajar USIM dengan peruntukan kira-kira RM938 juta, dijangka bermula tahun depan dan diharapkan ia dapat membantu menampung kepadatan pesakit.

"Sehingga kini, kemajuan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Kota Tinggi Jenis 3 di tapak adalah 46.35 peratus dan klinik ini terletak hanya dua kilometer dari tapak hospital yang sedia ada," katanya ketika menjawab soalan lisan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Rashidah ingin tahu usaha kerajaan negeri menampung kepadatan pesakit di Hospital Kota Tinggi.

Menurut Ling (BN-Yong Peng), Hospital Kota Tinggi dibuka pada 1913 dengan kapasiti 158 katil dan merupakan hospital tanpa pakar, telah memberi khidmat perubatan kepada 223,600 populasi penduduk kawasan bandar dan luar bandar di Kota Tinggi selain menerima kes-kes dari kawasan Tenggaroh, Mersing dan Ulu Tiram.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan Johor bersama Persekutuan dan pihak operator air negeri, Ranhill SAJ Sdn Bhd merancang pelbagai usaha bagi memastikan keperluan bekalan air bagi kawasan industri dan penduduk sekitar mencukupi.

"Antara projek yang akan dibangunkan ialah Pembangunan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Lebak dengan kapasiti 200 juta liter sehari (JLH) dan Pembangunan TAPS Sungai Pontian dan Baraj Sungai Pontian dengan kapasiti 260JLH bagi meningkatkan sumber air mentah.

"Selain itu, Pembangunan Loji Pakej dengan kapasiti 50 liter air sehari (MLD) di Loji Rawatan Air (LRA) Semangar dan Pembangunan LRA Semangar 3 dengan kapasiti 160JLH bagi bekalan air terawat selain persempadanan semula paip bekalan air terawat bagi kawasan Johor Bahru yang memberikan tambahan 50JLH air kepada kawasan Sedenak, Kulai," katanya menjawab soalan lisan Wong Bor Yang (PH-Senai).

Wong ingin tahu perancangan kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan air sekiranya tidak mencukupi susulan Johor berazam untuk menjadi hab pusat data terbesar di Malaysia.

Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) berkata kesemua projek bekalan air itu dijangka siap pada 2030 selari dengan perancangan pembangunan di Johor, sementara bekalan elektrik untuk jangka pendek 2022-2025 menerusi sistem rangkaian Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedia ada adalah mencukupi untuk menampung bekalan yang diperlukan oleh pusat data.

Beliau berkata pembangunan Hab Pusat Data di Johor tertumpu di kawasan Kulai yang dikenali sebagai "Sedenak Tech Park" (STeP) yang dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa I berkeluasan 283.28 hektar dijangka siap pada tahun depan manakala Fasa II berkeluasan 258.99 hektar dijadual siap pada 2028.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan