EKONOMI

PERNAS BIAYA RM12.6 JUTA USAHAWAN FRANCAIS SABAH SEJAK 2010 - EWON

26/11/2023 06:00 PM

KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah menyalurkan pembiayaan RM12.6 juta kepada 72 syarikat usahawan Sabah merangkumi 33 jenama francais dan pra-francais sejak 2010 sehingga kini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata Pernas, yang merupakan agensi di bawah kementeriannya, turut menyasarkan RM4.2 juta potensi pembiayaan bagi Sabah pada tahun ini.

Beliau berkata cetusan positif itu perlu menjadi pemangkin kepada semua usahawan di Sabah untuk menceburkan diri dalam perniagaan francais, selain perkembangan pelbagai jenama tempatan di negeri itu turut membuktikan ia mampu bersaing dengan jenama francais antarabangsa lain.

Justeru, Ewon mahu lebih ramai usahawan Sabah termasuk belia tampil memanfaatkan sepenuhnya pembiayaan francais dan pra-francais sebanyak RM50 juta yang disediakan Pernas pada tahun hadapan untuk menceburi bidang perniagaan francais seterusnya melonjakkan lagi potensi jenama produk masing-masing. 

"Saya amat yakin banyak jenama di Sabah yang sudah membuka cawangan sama ada menerusi anak syarikat atau usahawan lain bagi menjual produk atau kafe di beberapa daerah tanpa mereka berdaftar dalam industri francais.

"Saya menggalakkan mereka tampil kepada kementerian dan Pernas kerana dengan melesenkan atau mendaftar sebagai jenama francais akan membuka lebih banyak peluang antaranya akses kepada pembiayaan yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program BizFrancais Sabah di sini hari ini.

Program sehari anjuran Pernas itu dihadiri kira-kira 250 usahawan Sabah yang bertujuan menyediakan peluang bagi mengetahui informasi terkini mengenai perniagaan dan industri francais serta perkhidmatan ditawarkan agensi berkenaan.

Ia turut memberi peluang kepada pempamer daripada kalangan francaisor, pra-francais dan Business In Transformation pra-francaisor untuk mempromosikan model serta jenama perniagaan mereka.

Ewon berkata penganjuran program seumpama itu dilihat menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan penyertaan usahawan Sabah dalam perniagaan francais kerana berdasarkan prospek industri itu lebih mudah dalam usaha memperluas jenama di pasaran.

Pernas secara keseluruhan juga telah menyalurkan RM509 juta pembiayaan francais kepada 2,200 usahawan francais dan pra-francais, manakala sejak Program BizFrancais diperkenalkan pada 2019, agensi itu telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM14.94 juta.

Sementara itu, Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dalam ucapannya berkata Program BizFrancais dilaksanakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah yang menyasarkan potensi pembiayaan bernilai RM26.67 juta.

Tahun lalu, Pernas menganjurkan program yang sama di lima negeri melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Terengganu dan Sarawak yang menyaksikan agensi itu meluluskan pembiayaan sebanyak RM9.6 juta, katanya.

"Pernas kini memperhebatkan usaha melahirkan lebih ramai usahawan francais melalui Projek Be Your Own Boss dan akan memperkenalkan beberapa program keusahawanan francais baharu pada tahun hadapan seperti program untuk pesara dan veteran serta perusahaan sosial bagi memperhebat usaha memacu industri francais," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan