AM

150 Sekolah Agama Johor Kritikal, Perlu Dibaik Pulih Segera - Exco

26/11/2023 01:55 PM

ISKANDAR PUTERI, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 150 sekolah agama kerajaan negeri di Johor dikategorikan sebagai sekolah kritikal dan perlu dibaik pulih segera, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata sekolah dikategorikan kritikal itu antaranya mengalami masalah pendawaian, bumbung dan tandas sekolah.

"Pada tahun ini sebanyak 50 sekolah agama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3 juta bagi maksud baik pulih sekolah telah dijalankan, manakala baki 100 sekolah yang belum dibaik pulih akan dilaksanakan pada tahun depan dengan peruntukan RM12 juta, hasil kerjasama kerajaan negeri dengan pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ).

"Kerajaan negeri menerima permohonan bagi penyelenggaraan antara 150 hingga 200 sekolah daripada keseluruhan 583 sekolah agama di negeri ini dengan setiap permohonan ini akan dinilai mengikut kategori kritikal dan tidak kritikal," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) pada persidangan itu di Kota Iskandar, di sini.

Jefridin ingin mengetahui usaha kerajaan negeri meningkatkan kemudahan di sekolah agama kerajaan negeri yang kebanyakannya didapati usang dan tidak diselenggara dengan baik.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata tahun ini, kerajaan negeri menerusi MAINJ memperuntukkan RM2.5 juta untuk menggantikan 9,370 perabot termasuk meja dan kerusi pelajar serta meja dan kerusi kantin melibatkan 158 sekolah.

Bagi menjawab soalan lisan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai penjawatan guru sekolah agama, Mohd Fared berkata setakat ini terdapat kekosongan penjawatan 658 waran bagi gred DG29 dan 74 waran bagi gred DG41.

"Kerajaan negeri akan melantik seramai 300 guru Sekolah Agama Kerajaan Johor gred DG29 berstatus tetap dan akan diproses penempatannya pada tahun depan, manakala 295 guru gred DG29 berstatus kontrak pula akan dilantik pada tahun depan," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor telah memperuntukkan sebanyak RM22.6 juta bagi membantu 54,365 orang daripada golongan kurang bernasib baik bulan lepas.

Khairin-Nisa (BN-Serom) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Fauziah Misri (BN-Penawar) mengenai jumlah bantuan yang telah disalurkan kerajaan negeri kepada penerima bantuan JKM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan