SUKAN

Selangor Belasah Perak 4-0 Di Laman Sendiri

26/11/2023 01:09 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Selangor FC menepati ramalan apabila menundukkan Perak FC 4-0 pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor petang tadi. 

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Selangor berada di landasan tepat dalam misi memburu kemenangan dalam baki tiga perlawanan bagi liga musim ini. 

Gawang pasukan pelawat mula dirobek seawal minit ketiga menerusi jaringan Sharul Nazeem yang menerima hantaran Yohandry Orozco untuk meletakkan Selangor di depan.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang terus mengasak kubu Perak untuk mencari gol kedua berjaya menggandakan kedudukan hasil penyudah Mukhairi Ajmal yang menyambut hantaran Ayron Del Valle. 

Selangor kemudian hampir memproleh peluang untuk membedil jaringan ketiga pada minit ke-35 dan 37 apabila Fazly Mazlan dan Ayron cuba merembat bola ke gawang namun kedua-duanya tersasar melegakan pengendali Perak, Yusri Che Lah. 

Bersambung babak kedua, perlawanan masih didominasi Selangor yang menyerang bertali arus untuk menambah derita Perak berhasil apabila Orozco dan Ayron membuahkan jaringan ketiga dan keempat pada minit ke-77 dan 80, keputusan kekal 4-0 hingga ke wisel penamat. 

Selangor kini mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super 2023 dengan 55 mata. 

Sementrara itu, perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban menyaksikan Negeri Sembilan FC (NSFC)  meraih tiga mata berharga selepas menewaskan PDRM FC 2-0. 

NSFC hanya berjaya membuka akaun jaringan apabila hantaran Shahrel Fikri ke arah tengah kawasan penalti disudahkan sempurna oleh R. Barahtkumar pada minit ke-48.

Anak didik K. Devan kemudian menambah derita Sang Saka Biru apabila sepakan A. Selvan menewaskan Ramdhan Hamid pada minit ke-78 dan kedudukan 2-0 yang berpihak kepada NSFC kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan