EKONOMI

EWON CADANG KERAJAAN PERKENAL DASAR BAHARU TUMPU POTENSI EKONOMI SABAH, SARAWAK

25/11/2023 05:14 PM

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mencadangkan kerajaan memperkenalkan dasar baharu yang memberi tumpuan kepada potensi pembangunan ekonomi serta keusahawanan di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang menggunakan istilah 'dasar pandang ke Timur dalam negara' itu perlu dibangunkan sebagai hala tuju baharu bagi menjayakan pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak memandangkan kedua-dua negeri mempunyai pelbagai sumber dan aset yang berpotensi.

“Kalau Indonesia misalnya sudah melihat potensi Borneo sehingga membangunkan ibu kota Nusantara mereka, kalau Sarawak sudah berada di hadapan dalam pembangunan ekonomi berasaskan teknologi hijau dan industri air, maka Sabah juga mempunyai potensi untuk dibangunkan.

“Semua ini memerlukan dasar baharu yang memberi tumpuan untuk melihat pembangunan Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak sebagai pusat ekonomi baharu negara seperti pusat-pusat ekonomi di Semenanjung dibangunkan selama ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival UDA 2023 @ Sabah di sini, pada Sabtu.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata wawasan dan dasar baharu itu perlu selaras dengan semangat kebersamaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Justeru, wawasan kita bukan hanya menuntut Perjanjian Malaysia dilaksanakan malah juga kita mahu satu tumpuan lebih baik melibatkan kerjasama lebih padu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Cara kita menjayakan pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak di bawah hala tuju, tumpuan dan dasar baharu," katanya.

Beliau berkata Sabah misalnya mempunyai pelbagai sektor yang berpotensi dibangunkan termasuk dalam aspek pertanian pintar.

“Pertanian pintar boleh dibangunkan di Sabah memandangkan kita mempunyai aset iaitu tanah. Kita mempunyai populasi agak besar dan berjiran dengan negara (Kalimantan, Indonesia).

“Pertanian pintar pun menjadi satu daripada lapan fokus PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) di negara kita dan saya ingin melihat Sabah menekankan fokus ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan