EKONOMI

KARNIVAL UDA 2023 PLATFORM TINGKAT TARAF HIDUP MASYARAKAT, PERKASA USAHAWAN - EWON

25/11/2023 04:56 PM

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Karnival UDA 2023 anjuran UDA Holdings Bhd (UDA) menjadi platform dalam usaha membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat termasuk memperkasakan golongan usahawan tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata ini dapat dilihat menerusi dua program utama yang diketengahkan dalam karnival itu iaitu Program Usahawan USHANiaga dan Kempen Hartanah UDA Ria yang sekali gus seiring dengan fungsi serta peranan UDA dalam mencorak, membentuk serta memodenkan bandar utama di Malaysia.

“Platform USHANiaga juga memberi peluang dan membantu usahawan tempatan mempromosi produk diusahakan. Ia bertepatan dengan fokus kementerian ke arah memperkasakan golongan ini lebih-lebih lagi usahawan mikro, kecil dan sederhana supaya mereka dapat bersaing secara kompetitif dan berdaya tahan,” katanya berucap merasmikan Karnival UDA 2023 @ Sabah di sini, pada Sabtu.

Sebanyak 100 usahawan Sabah terlibat dalam karnival itu yang diadakan selama tiga hari berakhir esok dengan sasaran nilai jualan RM2 juta.

Karnival itu akan diteruskan di Perak pada Disember ini.

Sebelum ini, Karnival UDA 2023 telah diadakan di Johor dan Pulau Pinang dengan penyertaan hampir 300 usahawan dan mencatatkan jualan bernilai RM5.48 juta.

Ewon berkata beliau percaya UDA mampu mencapai sasaran untuk menarik penyertaan 500 usahawan dengan nilai jualan berjumlah RM10 juta di empat lokasi penganjuran karnival itu.

Dalam pada itu, beliau berkata program MARI dan KIRANA disediakan UDA untuk membantu perkembangan perniagaan usahawan termasuk di Sabah juga selari dengan satu daripada fokus kementerian iaitu meningkatkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor bernilai tinggi.

”... menembusi pasaran global, menumpukan pengukuhan kemampanan PMKS dan koperasi dalam meningkatkan daya saing ekonomi seterusnya memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial bagi menormalkan impak sosial,,” katanya.

Ewon berharap UDA akan terus produktif dalam menyediakan produk, menawarkan perkhidmatan berkualiti dan terus memperkasakan golongan usahawan terutama di kompleks perniagaan termasuk menaik taraf kemudahan berkaitan. 

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd Salem Kailany berkata UDA turut menerima sambutan menggalakkan bagi Kempen Hartanah UDA Ria dengan kehadiran hampir 12,000 pengunjung di dua lokasi sebelum ini.

“UDA mengambil langkah proaktif memperkenalkan pelbagai hartanah UDA di seluruh Malaysia termasuk projek terbaharu di Sarawak yang sesuai untuk semua generasi. 

“Usaha ini juga membuka peluang kepada golongan muda Sabah untuk memilik hartanah di Semenanjung dan Sarawak dengan pelbagai promosi dan tawaran hadiah menarik,” katanya.

Beliau turut berharap Karnival UDA 2023 dapat membuka jalinan kerjasama dengan pelabur hartanah untuk melebarkan pelaburan ke seluruh negara.

UDA adalah syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan