SUKAN

Insentif Shakam Pembakar Semangat Cipta Lebih Kejayaan - Muhammad Ammar Aiman

24/11/2023 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Atlet para olahraga negara Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi menyifatkan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang diterimanya sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara.

Atlet berusia 21 tahun itu menjadi penerima kedua tertinggi insentif SHAKAM berjumlah RM90,000  susulan kejayaannya meraih pingat emas dan memperbaharui rekod temasya dalam penyertaan sulungnya di Sukan Para Asia Hangzhou 2022, Oktober lepas.

“Ini (insentif SHAKAM) menaikkan motivasi (saya) untuk melayakkan diri (terutamanya) ke Sukan Paralimpik Paris 2024 dan (saya) anggap ia (insentif) berbaloi dengan kerja keras dan penat lelah sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian SHAKAM, semalam.

Penerima insentif tertinggi ialah perenang para negara Muhd Nur Syaiful Zulkafli yang menerima RM110,000.

Muhammad Ammar Aiman bertekad untuk terus beraksi cemerlang serta mencipta rekod baharu pada kejohanan akan datang.

“Rekod masa saya (sekarang) ialah 47.60s, sasaran saya selepas ini untuk dapatkan (rekod baharu) 46.0s dan itu dah boleh pecahkan rekod Sukan Paralimpik ...bagi membolehkan saya layak secara merit,” katanya.

Atlet kelahiran Pontian, Johor itu akan mempersiapkan diri untuk menyertai Kejohanan Olahraga Dunia Para Kobe pada Mei tahun depan sebelum menentukan sama ada beliau layak ke Sukan Paralimpik Paris 2024 pada Ogos akan datang.

Sementara itu, pemenang pingat emas Karate Kumite Lelaki 84kg temasya Sukan Asia ke-19 Muhammad Arif Afifuddin yang menerima insentif RM80,000 berkata kejayaan di Hangzhou merupakan pencapaian terbesarnya sepanjang tahun ini.

Beliau menganggap insentif diterima sebagai penyuntik semangat untuk mencapai sasaran baharu pada Kejohanan Persekutuan Karate Dunia (WKF) 2024 yang dijadual berlangsung di Sepanyol dari 22 hingga 24 Nov.

“Saya juga belum pernah dapat medal di Kejohanan Liga Perdana Karate 1 (K1) jadi tahun depan (saya harap) dapat tonjolkan prestasi terbaik. Fokus saya untuk dapatkan pingat dan menaikkan ranking supaya dapat layak bertanding di kejohanan dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan