EKONOMI

Kerajaan Pulau Pinang Bentang Belanjawan 2024 Berjumlah Rm1.422 Bilion

24/11/2023 03:13 PM

GEORGE TOWN, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.422 bilion dengan anggaran defisit RM514.53 juta, pada Jumaat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.047 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM374.718 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata tahun hadapan, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM533.08 juta dan akan menjadikan Belanjawan 2024 mengalami defisit sebanyak RM514.53 juta.

“Nilai defisit ini bertambah sebanyak RM47.41 juta berbanding dengan defisit 2023 yang berjumlah RM467.12 juta, namun mengambil kira janji kerajaan negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan.

“Anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta yang dijangka dalam Belanjawan 2024 akan dibiayai daripada rizab kerajaan negeri, termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki sebanyak RM1.67 bilion pada 15 November 2023,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Chow berkata anggaran kutipan hasil berjumlah RM533.08 juta pada 2024 menunjukkan penambahan sebanyak RM10.73 juta atau 2.05 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2023 sebanyak RM522.35 juta, didorong peningkatan unjuran hasil cukai, terutama cukai langsung dan juga hasil bukan cukai.

Komposisi hasil 2024 terdiri daripada hasil cukai RM167.91 juta (31.50 peratus), hasil bukan cukai RM277.92 juta (52.13 peratus) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM87.24 juta (16.37 peratus), katanya.

Beliau berkata anggaran perbelanjaaan mengurus sebanyak RM1.05 bilion adalah merangkumi perbelanjaan bagi emolumen, perkhidmatan dan bekalan, aset, pemberian dan kenaan bayaran tetap dan perbelanjaan lain.

Perbelanjaan pembangunan 2024 berjumlah RM374.72 juta akan merangkumi peruntukan bagi projek Gurney Bay (RM80 juta), Pembangunan Sukan dan Kawasan Lapang (RM15.3 juta), Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (RM21.23 juta), Pembangunan Rancangan Perumahan Murah (RM6 juta), Projek Khas Ekonomi (RM15.05 juta) dan lain-lain projek pembangunan. 

Sidang DUN ditangguhkan dan akan bersambung Isnin.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan