EKONOMI

Negara Asean Perlu Berani Bangunkan Kepakaran Sendiri Dalam Industri Ev

23/11/2023 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Negara Asean perlu yakin untuk membangunkan industri kenderaan elektrik (EV) dengan kepakaran mereka, kata Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM).

Presidennya Datuk Dennis Chuah berkata setiap negara, terutamanya Malaysia mempunyai kepakaran untuk mengembangkan bahagiannya dalam pasaran rantau Asean yang besar ini, yang berjumlah lebih 650 juta dan menyasarkan untuk mengeksport ke peringkat global.

“Kita mahu melihat syarikat tempatan menjadi pembekal global teratas untuk ekosistem EV.

“Jadi, dengan kekuatan dan dengan kesediaan kerajaan untuk meningkatkan jumlah atau pemain dalam persekitaran EV Malaysia, sebaik sahaja kita dapat melaksanakannya, kita sedang dalam perjalanan untuk menjadi negara berorientasikan eksport,” katanya pada persidangan E-Mobiliti Asia (EMA) 2023 di sini hari ini.

Persidangan itu dihadiri oleh wakil daripada persatuan EV Singapura, Thailand dan Filipina.

Presiden Persatuan Kenderaan Elektrik Thailand (EVAT) Krisda Utamote berkata adalah penting untuk mewujudkan pendidikan dan latihan yang betul dalam menyediakan tenaga kerja berbakat untuk industri EV, yang sedang berkembang pesat di Thailand.

Beliau berkata di Thailand sektor EV berkembang pesat dengan syarikat seperti MuvMi yang mempunyai 600 kenderaan roda tiga elektrik dan sasaran pendapatan US$5 juta (US$1=RM4.677) untuk 2023.

Pengerusi Emeritus Persatuan Kenderaan Elektrik Filipina (EVAP) Ferdinand Raquelsantos berkata kerajaan Filipina menyediakan latihan menyeluruh untuk juruteknik tetapi pengetahuan mengenai EV harus bermula dari peringkat sekolah.

“Bukan sahaja pelajar sekolah tetapi ibu bapa juga harus mengenali mobiliti elektrik. Ini akan memastikan mereka menghargai keseluruhan ekosistem EV.

“Mereka (ibu bapa) masih beranggapan bahawa EV mahal untuk dibeli dan diselenggara sebagai pengangkutan harian tetapi kos mengendalikan EV boleh mencecah sehingga 65 peratus lebih murah daripada kenderaan konvensional. Ini adalah perkara yang kita perlu ajar atau mendidik orang ramai,” katanya.

Sementara itu, wakil Persatuan Kenderaan Elektrik Singapura (EVAS) Leow Ju-Len berkata republik itu mempunyai kepakaran EV tempatan seperti dalam perkhidmatan syarikat pemula yang dipanggil Power Up Tech.

“Syarikat itu menyediakan perkhidmatan pengecasan pantas DC atas permintaan untuk EV di mana-mana dalam Singapura. Matlamatnya adalah untuk memudahkan pemilik EV di republik itu,” katanya.

EMA 2023 edisi pertama ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membuka pelbagai prospek perniagaan kepada syarikat yang berhasrat untuk memasuki industri EV.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan