EKONOMI

Untung Bersih Petronas Dagangan Susut Kepada Rm184.72 Juta Bagi Suku Ketiga

23/11/2023 08:23 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PDB) bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023 susut kepada RM184.72 juta daripada RM275.97 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun kewangan 2022.

Perolehan berkurangan kepada RM9.92 bilion daripada RM10.13 bilion bagi tempoh yang sama, berikutan harga jualan purata lebih rendah sebanyak 7.0 peratus walaupun jumlah jualan lebih tinggi sebanyak 6.0 peratus, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Keuntungan bersih menjadi lebih rendah disebabkan oleh pergerakan harga yang tidak menggalakkan dan memberi kesan terhadap bahan api Jet A1 dan diesel, di samping perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi.

“Ini, bagaimanapun, diimbangi oleh sumber pendapatan lain seiring dengan peningkatan pendapatan faedah,” jelasnya.

PDB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu RM762.27 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2023 berbanding RM632.14 juta dalam tempoh yang sama tahun kewangan 2022 manakala perolehan menokok kepada RM27.47 bilion daripada RM27.25 bilion sebelumnya.

Perolehan yang tinggi pada tempoh itu dipacu oleh jumlah jualan yang meningkat sebanyak 9.0 peratus, tetapi diimbangi oleh penurunan 7.0 peratus dalam harga jualan purata.

Margin yang lebih tinggi daripada sumber lain menyumbang kepada keuntungan bersih yang lebih baik.

“Ini (bagaimanapun) dikekang oleh peningkatan perbelanjaan mengurus ditambah dengan pendapatan lebih rendah (daripada segmen lain) berikutan keuntungan daripada penjualan perniagaan gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan