GEORGE TOWN, 22 Nov (Bernama) -- Prestasi perbelanjaan projek pembangunan kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2022 adalah di tahap memuaskan yang berjumlah RM225.72 juta berbanding peruntukan diluluskan sebanyak RM316.13 juta.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 yang dikeluarkan hari ini menyatakan daripada 2,420 projek yang dirancang, masing-masing sebanyak 2,332 projek atau 96.4 peratus telah siap sepenuhnya, 28 projek (1.2 peratus) sedang dilaksanakan, 18 projek (0.7 peratus) belum dimulakan manakala 42 projek (1.7 peratus) telah dibatalkan.
"Kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM225.72 juta bagi membiayai pelbagai projek pembangunan berbanding RM205.58 juta pada 2021.
"Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mencatat peningkatan perbelanjaan tertinggi iaitu 51.6 peratus kepada RM94.35 juta pada 2022 berbanding RM62.25 juta pada 2021
“Jabatan Kewangan Negeri mencatat penurunan perbelanjaan sebanyak 21.5 peratus kepada RM60.33 juta pada 2022 berbanding RM76.89 juta pada 2021,” kata laporan itu.
Selain itu, analisis audit juga mendapati kedudukan kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang adalah kukuh dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2022 berjumlah RM1.859 bilion namun turun 12.2 peratus berbanding RM2.117 bilion pada akhir 2021.
Pada masa sama, LKAN mengesyorkan supaya kerajaan negeri itu memastikan piawaian perakaunan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa dipatuhi agar pengurusan kewangan dapat dilaksanakan dengan cekap, teratur dan berkesan.
Ini termasuk memastikan pelaburan kerajaan negeri didedahkan dalam penyata kewangan mengikut Piawaian Perakaunan Kerajaan, kata laporan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial