AM

BANJIR: MASYARAKAT DIMINTA WASPADA, PEKA ARAHAN PIHAK BERKUASA - AHMAD ZAHID

20/11/2023 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya para penduduk di kawasan yang dijangka mengalami banjir supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Beliau berkata ini susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca signifikan bagi tempoh hari ini hingga Rabu, dan berdasarkan analisis model cuaca itu, amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk serta waspada dikeluarkan melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Sabah.

"Amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikemas kini berkuat kuasa sehingga 21 Nov ini. Sementara itu di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang yang lebih menyeluruh juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagi mendapatkan maklumat dan amaran semasa mengenai banjir, Ahmad Zahid berkata orang ramai boleh melayari laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau @PubliclnfoBanjir (Facebook) dan @JPS_InfoBanjir (Twitter atau X).

"Bagi maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada MetMalaysia," katanya.

Sementara itu beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi, Perak, Terengganu dan Pahang dilaporkan terkesan dengan bencana banjir yang melibatkan masing-masing satu daerah di ketiga-tiga negeri itu.

"Seramai 346 orang mangsa daripada 106 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan