GUA MUSANG, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berganding bahu bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam usaha memastikan golongan Orang Asli tidak tercicir untuk mendapatkan pendidikan asas seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka.
Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Zarina Razlan berkata usaha itu dizahirkan menerusi Program Pendidikan Literasi Fungsian Orang Asli (PLFOA) yang membantu kelompok berkenaan menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Beliau berkata selain berfungsi untuk membasmi masalah buta huruf dalam kalangan masyarakat Orang Asli dewasa di negeri ini, PLFOA juga merupakan kesinambungan program bantuan JAKOA lain yang memerlukan mereka mempraktikkan 3M.
“Sebanyak 40 masyarakat Orang Asli berumur antara 15 hingga 55 tahun di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir dan Pos Blau terpilih untuk mengikuti program PLFOA pada tahun ini. Sebanyak RM40,000 telah diperuntukkan JAKOA untuk melaksanakan program di dua buah penempatan itu.
“PLFOA dilaksanakan sejak 2019 dan sehingga kini kira-kira 200 masyarakat Orang Asli di Kelantan menerima manfaat dan keluar daripada masalah buta huruf,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil PLFOA di Dewan Merak, Kesedar Inn di sini hari ini.
Bagi wanita Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Blau Saedah Along, 47, berkata dia bersyukur dan tidak menyangka pada usia sebegini masih mendapat peluang mengatasi masalah literasinya.
“Dahulu saya tidak dapat ke sekolah kerana di kawasan kampung tiada sekolah. Jadi, apabila ada kelas ini saya mula belajar pada September hingga Oktober.
“Setiap hari saya belajar selama empat jam dengan bimbingan seorang guru. Saya gembira dan tidak menyangka kini dapat membaca, menulis dan mengira,” katanya.
Sementara itu, tenaga pengajar Norhayati Ahmad Yassin, 41, berkata beliau berpuas hati dengan pencapaian 20 pelajarnya yang telah mengikuti kelas selama sembilan minggu dengan mencatatkan kehadiran penuh.
“Alhamdulillah program seperti ini sangat baik dan kalau boleh teruskanlah lagi PLFOA. Seandainya tabika saya (Tabika Kemas Pasir Linggi) terpilih untuk mengadakan kelas PLFOA lagi saya akan menerima dengan tangan terbuka sebab memang terbaik.
“Daripada mereka tidak tahu sekarang sudah boleh mengenal huruf dan nombor, malah dapat menulis nama sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
© 2023 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan