SUKAN

Gabungan Tiga Perkhidmatan Atm Mampu Tawan Rmsir 2023

20/11/2023 10:43 AM

PULAU PANGKOR, 20 Nov (Bernama) -- Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) optimis berada dalam landasan tepat untuk menawan Kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2023 menggunakan kemahiran ketiga-tiga gabungan perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Laut dan Udara. 

Lt Kdr Mohd Hanif Husain, 40, yang bertugas sebagai skipper kapal layar Uranus bagi saingan kelas 1 bersama 13 kru kapal berkata pengetahuan berkaitan perairan Selat Melaka menjadi kelebihan untuk mereka beraksi dalam edisi ke-33 ini. 

Mohd Hanif berkata pasukannya akan bangkit selepas terpaksa berpuas hati dengan tempat ketiga dengan catatan 19 jam 8 minit 19 saat  bagi saingan peringkat pertama bagi laluan Port Klang ke Pulau Pangkor semalam. 

“Semalam kami sebenarnya muncul sebagai Line Honours, terpantas namun selepas pengiraan handicap setiap penyertaan kami menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. 

“Namun perlumbaan pertama biasanya untuk mencari rentak lagipun semalam kami juga menghadapi masalah layar jib, jadi berbaki laluan selepas ini sudah pasti kami akan lebih bersedia dengan gabungan ATM ini,” katanya kepada Bernama. 

Perlumbaan peringkat pertama kelas 1 semalam menyaksikan pasukan Witchcraft dari Hong Kong muncul juara setelah mencatatkan 18:43.27s diikuti pasukan Next Factor dari Australia yang berada di kedudukan kedua setelah merekodkan 19:05.03s. 

Perlumbaan selama lapan hari sehingga 25 Nov itu, yang disertai 19 pasukan akan meneruskan pelayaran ke Pulau Pinang dan berakhir di Pulau Langkawi. 

RMSIR merupakan kejohanan kapal layar tertua di Asia sejak kali pertama dianjurkan pada 1989.

Kejohanan berkenaan dicetuskan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda masih bergelar Raja Muda Selangor.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan