AM

Persembahan 'api' Tldm Semarakkan Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2023

19/11/2023 04:07 PM

TAIPING, 19 Nov (Bernama) -- Persembahan Pasukan Pancaragam Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut mencuri tumpuan puluhan ribu pengunjung pada Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2023 di Padang Esplanade di sini hari ini.

Segak berpakaian uniform berwarna biru, seramai 68 anggota dan pegawai pasukan itu memukau penonton melalui persembahan pancaragam dengan pergerakan formasi dan tarian serta persembahan drum line berserta pertunjukan semburan api fire dragon yang menyemarakkan suasana larian berkenaan.

Pegawai Waran 1 Pancaragam, Azumie Zainal yang mengetuai pasukan itu berkata antara kehebatan yang dipamerkan pada persembahan itu termasuklah semburan api yang bukan sahaja dilakukan anggota lelaki tetapi juga dilakukan anggota wanita.

"Keunikan pada persembahan yang kami panggil wow factor adalah semburan api yang kami tonjolkan bukan lelaki sahaja boleh melakukannya tetapi perempuan pun ada, iaitu kami tanamkan sifat berani dalam dirinya untuk membuat semburan api.

"Selain itu, bentuk formasi juga dilakukan dengan penuh kekemasan, disiplin dan keunikan boleh dilihat iaitu agak banyak formasi yang dipersembahkan mengikut lagu yang dimainkan," katanya ketika ditemui pada acara larian itu di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan itu aktif dalam penglibatan persembahan di dalam dan luar negara malah pernah terlibat dalam World Navy dan K-Pop Concert semasa membuat persembahan di Jeju Island, Korea Selatan bersama gabungan pancaragam dari lapan negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, India dan Indonesia.

Pasukan itu turut aktif menjayakan majlis melibatkan istana antaranya penganugerahan pingat dan bintang kebesaran selain mengiringi kawalan kehormatan utama sempena lawatan rasmi pembesar negara dan panglima di dalam dan luar negara.

Sementara itu, seorang pengunjung Sarimah Zakaria, 40, berkata dia yang hadir bersama empat anak berusia enam hingga 12 tahun amat teruja dengan persembahan api yang ditunjukkan pasukan TLDM berkenaan.

"Kami datang dari Bagan Serai kerana lokasi larian ini tidak terlalu jauh dan penganjuran larian kali ini lebih meriah kerana disertakan dengan pameran ketenteraan dan banyak persembahan yang menarik," katanya.

Pelbagai aktiviti dianjurkan selama dua hari bermula semalam sempena larian itu termasuk persembahan di sekitar Taman Tasik Taiping dan Padang Esplanade.

Selain persembahan pancaragam, pengunjung juga menyaksikan demonstrasi tempur daripada Angkatan Tentera Malaysia dan demonstrasi payung terjun oleh tentera darat.

  -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan