AM

Pemadam Perak Kerjasama Dengan Polis, Aadk Laksana Saringan Air Kencing Di Sekolah

19/11/2023 12:05 PM

IPOH, 19 Nov (Bernama) -- Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Perak akan bekerjasama dengan Polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak untuk melaksanakan program ujian saringan air kencing kepada pelajar sekolah bagi membendung penglibatan mereka dalam pengambilan dadah.

Pengerusinya Mohd Azlan Helmi berkata satu mesyuarat khusus akan diadakan pada Januari tahun depan bagi memastikan program itu dapat diselaraskan antara ketiga-tiga pihak.

“Pendekatan kami ini bukan hendak menghukum (pelajar) tetapi mahu menyelamatkan dan membawa mereka kembali ke pangkal jalan. Perkara itu paling penting. 

“Kami juga mahu menyedarkan mereka bahawa usia muda ini sangatlah berharga dan perjalanannya masih jauh, jadi ia perlu dimanfaatkan dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Fit Mania Perak 2023 anjuran bersama Pemadam Perak dan Persatuan Kebajikan Kecergasan Komuniti Perak (PKKP) di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Terdahulu, karnival yang dihadiri lebih 300 peserta itu dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kepentingan menjaga kesihatan serta membudayakan amalan hidup sihat.

Mohd Azlan berkata pihak Pemadam juga akan memperbanyakkan lagi aktiviti berkaitan pencegahan yang melibatkan semua golongan agar tahap kesedaran terhadap kemudaratan najis dadah ini dapat dipupuk secara meluas.

Tambah beliau secara tidak langsung pendekatan yang akan dilaksanakan itu turut membantu dalam memberi pengetahuan kepada masyarakat berkaitan fungsi dan bidang tugas Pemadam terhadap pencegahan dadah.

“Untuk tahun depan, kami telah susun lima program khusus berkaitan pencegahan dadah ini. Sasaran kami bukan hanya kepada para belia tetapi pelbagai lapisan masyarakat.

“Namun, program yang akan dibuat ini memerlukan kerjasama daripada semua terutama masyarakat. Ini kerana kejayaan mencegah gejala ini bukan hanya dibahu kerajaan semata-mata tetapi memerlukan dukungan dan sokongan daripada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan