AM

Banjir: 128 Penduduk Masih Berlindung Di Pps Di Kedah, Perak

18/11/2023 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Kedah dan Perak kekal seperti malam semalam dengan seramai 128 penduduk masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir ditempatkan di dua PPS iaitu masing-masing di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, kekal 26 orang daripada lima keluarga, setakat 8 pagi ini. 

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan berkata di Kota Setar, enam sekeluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah manakala di Kubang Pasu, 20 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di SK Malau.

Beliau berkata kesemua mangsa akan dibenarkan pulang sekiranya banjir di kawasan kediaman mereka surut sepenuhnya hari ini.

Sementara itu, di PERAK seramai 102 penduduk daripada 29 keluarga masih berlindung di empat PPS membabitkan tiga daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, 18 individu daripada lima keluarga masih ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, manakala di Kerian, PPS SK Changkat Lobak menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga dan PPS SK Alor Pongsu dengan 57 orang daripada 19 keluarga.

Di daerah Kinta pula, jumlah mangsa yang berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A kekal sembilan orang daripada dua keluarga.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan