AM

Bernama, Antara Tingkat Kerjasama Pelbagai Bidang Hadapi Cabaran Media Baharu

18/11/2023 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional (Antara) akan terus meningkatkan kerjasama pelbagai bidang dalam menghadapi cabaran media baharu.

Ketua Pengarang Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata hubungan dan kerjasama antara dua agensi berita itu telah lama wujud, namun ia perlu dipertingkatkan terutamanya dalam menangani penyebaran berita palsu.

“Jika dilihat Bernama dan Antara mempunyai peranan yang lebih kurang sama. Kami (Bernama dan Antara) sependapat bahawa perkara ini (berita palsu) harus ditangani dengan sebaik mungkin untuk mengelak rakyat di dua negara ini terperangkap dengan kandungan berita tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Lembaga Pengelola Antara yang diketuai Ketua Dewan Pengawas Antara Kemal Gani di Wisma Bernama di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama D. Arul Rajoo.

Nur-ul Afida berkata Bernama juga berminat untuk menjalin kerjasama bagi mengadakan pameran fotografi bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan negara masing-masing.

Sementara itu, Kemal berharap kerjasama dalam menghadapi cabaran media baharu itu dapat membantu kedua-dua agensi terus kekal relevan dan menjadi sumber rujukan utama masyarakat.

“Cabaran era media global dan digital sedikit sebanyak memberi kesan kepada media arus perdana. Bagi menghadapi cabaran ini, agensi berita perlu menghasilkan kandungan berita yang lebih pendek, ringkas dan menarik sesuai dengan selera masyarakat hari ini.

“Media arus perdana perlu bijak mengunakan media sosial agar dapat terus menyalurkan maklumat yang bermanfaat dan berharga kepada masyarakat,” katanya.

Menurut Kemal, media hari ini juga perlu bergerak lebih proaktif dan tidak hanya menunggu bahan untuk dijadikan sebagai bahan berita.

“Kita sendiri perlu menghasilkan berita yang boleh dipercayai, bermanfaat dan menarik serta ia perlu bersifat multiplatform iaitu dapat diguna oleh semua platform media,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan