DUNIA

Lawatan Peringkat Tinggi Perkukuh Kerjasama Malaysia-china Ke Tahap Baharu

15/11/2023 10:41 AM

Oleh Voon Miaw Ping

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan China bakal menjangkau lima dekad pada tahun 2024, di tengah-tengah pelbagai cabaran global serta landskap geopolitik serantau selain kemunculan Beijing selaku kuasa besar baharu.

Kesungguhan dan komitmen kedua-dua negara dalam memajukan lagi hubungan dua hala terbukti menerusi kekerapan pertukaran lawatan peringkat tinggi oleh pemimpin kedua-dua negara terutama pada tahun 2023.

Penganalisis hubungan antarabangsa dari Universiti Malaya Prof Dr Roy Anthony Rogers Peter Rogers berkata lawatan peringkat tinggi memainkan peranan penting kerana dapat menggalakkan persefahaman dan perkongsian yang lebih mendalam antara Malaysia dan China, sekali gus menyumbang ke arah memperkukuh hubungan untuk jangka panjang.

Pertukaran lawatan itu juga menunjukkan keutamaan yang diberikan oleh Putrajaya dan Beijing dalam hubungan dua hala ini.

“China menghargai hubungan mesranya dengan Malaysia berdasarkan kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara, menghubungkan Laut China Selatan dan Selat Melaka. Ini sangat kritikal berdasarkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Selain itu, kerajaan kita (Malaysia) sangat mesra dengan China di peringkat kerajaan dan bukan kerajaan - komuniti perniagaan, pendidikan dan budaya.

“Kita melihat China sebagai peluang dan saya percaya China juga melihat perkara yang sama. Itulah sebabnya ramai pegawai tinggi China turut melawat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pertukaran lawatan peringkat tinggi tahun ini sungguh menakjubkan memandangkan Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif kedua-dua negara dan bakal meraikan Ulang Tahun Jubli Emas hubungan diplomatik pada 2024.

Antara pemimpin yang melawat Malaysia, termasuk Naib Presiden China Han Zheng yang baru sahaja mengakhiri lawatan empat hari pada 11 Nov, selepas kunjungan ahli majlis negara yang juga Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.

Menteri Luar Wang Yi berada di Kuala Lumpur pada Ogos dan Pengerusi jawatankuasa tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) Zhao Leji membuat lawatan rasmi selama tiga hari ke sini pada Mei.

Malaysia membalas kunjungan itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Forum Boao untuk Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) di Hainan pada Mac selain turut membuat lawatan rasmi ke Beijing atas undangan Presiden China Xi Jinping.

Pada September, Anwar membuat lawatan kedua untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (Caexpo) ke-20 di Nanning.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul turut membuat lawatan kerja ke Beijing pada September, diikuti lawatan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menghadiri Sidang Kemuncak BRI pada Oktober.

Dari 12 hingga 19 Nov, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof akan ke Beijing dan Shanghai untuk memperdalam lagi kerjasama terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembinaan kapasiti serta dalam perdagangan komoditi.

Sambil menyatakan bahawa pentadbiran Anwar memandang China dari sudut yang positif, Dr Lee Pei May dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat bahawa hubungan dua hala Putrajaya-Beijing yang kukuh juga menyumbang kepada ASEAN, terutama apabila Malaysia memegang jawatan Pengerusi blok serantau itu pada tahun 2025.

“Saya menjangkakan bahawa dalam menangani ketegangan di Laut China Selatan, lebih banyak kemajuan boleh dicapai apabila Malaysia menjadi pengerusi ASEAN. Malaysia sentiasa mengambil pendekatan diplomasi dalam isu ini,” katanya.

Memandangkan tahun 2024 akan menandakan satu lagi peristiwa penting apabila hubungan Malaysia dan China mencapai ulang tahun ke-50, setiap lawatan menambah momentum dan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyediakan asas untuk kedua-dua pihak menyediakan aktiviti dan program yang akan dianjurkan untuk membawa perkongsian strategik itu ke tahap baharu.

“Ia akan menjadi tahun yang bermakna bagi kedua-dua negara. Pepatah Cina ada mengatakan “real gold can withstand burning fire”. Begitu juga hubungan antara Malaysia dan China bagaikan emas dapat mengatasi semua cabaran dan kekal berharga,” kata Roy Anthony Roger.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan