AM

Jualan Rahmah: Pengguna Puas Hati Barangan Berkualiti Harga Rendah

12/11/2023 08:51 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

TELOK PANGLIMA GARANG, 12 Nov (Bernama) -- Program Jualan Rahmah di Pasaraya Segi Fresh di sini memberi keceriaan dan kepuasan kepada pelanggan kerana mereka dapat membeli barangan keperluan berkualiti dengan harga rendah.

Rata-rata pengunjung berharap supaya program itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Suri rumah Rosyatimah Mursidi, 60, berkata ketika rakyat sedang terbeban dengan kenaikan harga barang, inisiatif kerajaan menerusi pasar raya itu dilihat sebagai langkah tepat.

"Mak cik sangat teruja berbelanja kerana Jualan Rahmah ini sangat meringankan beban komuniti di sini terutamanya golongan B40. Mak cik membeli barangan keperluan harian dengan harga yang sangat berpatutan berbanding harga pasaran.

"Bukan hanya ayam dijual dengan harga yang rendah, sayur, buah dan ikan bilis pun murah sempena Jualan Rahmah ini. Selain itu, barang jualannya juga segar-segar," katanya ketika ditemui Bernama. 

Pengawal keselamatan P. Taggam, 50, pula berkata Jualan Rahmah membantu menjimatkan perbelanjaan bagi sambutan Deepavali hari ini. 

"Saya tidak sangka ada Jualan Rahmah ini, kita memang sudah bajet untuk membeli keperluan raya (Deepavali), disebabkan harga barang ini jauh lebih murah, kita jimat banyak. Baki yang ada ini boleh digunakan untuk membeli keperluan lain.

"Kali ini saya dapat beli ayam, ikan, sayur, beras dan buah-buahan dengan harga yang sangat berpatutan, saya sangat puas hati selain barang-barang jualan (bekalan) juga banyak," katanya.

Penjawat awam Ismail Hashim, 55, pula menyifatkan Jualan Rahmah bukan sahaja menawarkan barangan pada harga murah malah berkualiti.

"Walaupun pembelian kami dihadkan, contohnya dua ekor ayam untuk setiap keluarga, ia langkah yang baik supaya semua masyarakat berpeluang untuk mendapatkannya.

"Saya harap pasar raya lain turut mengambil pendekatan sama supaya dapat bersama-sama dalam menjayakan agenda kerajaan bagi meringankan beban rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan