AM

Malaysia Bersedia Hantar Lebih Banyak Sarung Tangan Getah Ke Gaza - Fadillah

11/11/2023 12:53 AM

SEPANG, 10 Nov (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk menghantar lebih banyak sarung tangan getah untuk kegunaan pasukan perubatan di Semenanjung Gaza, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata sarung tangan getah merupakan antara keperluan mendesak di Semenanjung Gaza ketika ini.

"Memang kita (Malaysia) mendapat maklumat bahawa sarung getah amat diperlukan (di Gaza) dan kita masih menanti pengesahan jumlah sebenar yang diperlukan mereka," katanya kepada media selepas menyaksikan pelepasan penghantaran kedua bantuan barangan kemanusiaan untuk rakyat Palestin menerusi Ops Ihsan, di sini malam ini.

Fadillah berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Majlis Getah Malaysia telah mengumpul 100,000 sarung tangan getah yang akan dihantar ke Semenanjung Gaza menerusi Ops Ihsan yang dikendalikan Kementerian Luar.

"Kita (KPK) sudah berhubung dengan syarikat pengeluar (sarung tangan getah) dan kalau diperlukan lagi mereka bersedia untuk menyediakan sumbangan itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari berkata Malaysia menerusi Ops Ihsan bercadang mewujudkan satu hab kemanusiaan di Kaherah yang akan diselia semua badan bukan kerajaan (NGO) bernaung di bawah Ops Ihsan.

Beliau berkata pasukan terbabit akan ke Kaherah minggu depan untuk memastikan perancangan itu dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ops Ihsan merupakan inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama lebih 50 NGO antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan