SEMPORNA, 9 Nov (Bernama) -- Lebih 100 lepa atau perahu tradisional masyarakat Bajau akan menyertai pertandingan lepa berhias bersempena dengan Festival Regatta Lepa Semporna tahun ini, kata Pengerusi Lepa Cantik dan Sukan Laut Regatta Lepa Semporna Abd Manan Indanan.
Beliau berkata sehingga kini, terdapat 10 penyertaan untuk lepa berukir tradisi, manakala 100 penyertaan terdiri daripada lepa kumpit dari kampung di sekitar daerah ini dan jumlah penyertaan dijangka bertambah sebelum tarikh tutup penyertaan pada 15 Nov ini.
"Diharap lebih banyak penyertaan daripada penduduk kampung dan sebagai galakan penyertaan hadiah lumayan disediakan iaitu RM7,000 bagi johan lepa berukir tradisi, manakala RM3,000 untuk lepa kumpit," katanya kepada Bernama.
Selain pertandingan lepa berhias, Abd Manan berkata pelbagai sukan laut turut diadakan termasuk sukan kayak, tarik tali berperahu dan tangkap itik.
Dalam pada itu, Pengerusi Pelaksana Regatta Lepa Semporna Alexander Liew yang juga Pegawai Daerah Semporna berkata festival tiga hari bermula 17 Nov itu akan turut disertai delegasi dari Indonesia dan Filipina.
"Mereka (delegasi) datang ke Semporna semata-mata untuk menyaksikan Festival Regatta Lepa pada tahun ini, jadi ini suatu perkara membanggakan bagi daerah ini kerana kita boleh menonjolkan Semporna sebagai satu daerah yang kaya budaya dan juga keindahan pulau-pulau serta hidupan marin," katanya.
Selain itu, menurutnya pelancaran "Sambulayang", atau penanda aktiviti budaya masyarakat itu pada hari ini merupakan simbolik bermulanya sambutan Regatta Lepa kali ke-28 dan dijangka 15,000 pengunjung hadir memeriahkan festival berkenaan.
Liew berkata festival itu bukan hanya mengangkat warisan budaya Bajau, malah turut mempromosikan Semporna sebagai destinasi budaya yang berkembang pesat, sekali gus merangsang ekonomi tempatan.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Regatta Lepa Semporna Adam Shah Mohamad berkata festival pada kali ini dianjurkan dengan kelainan iaitu penambahan acara membabitkan peserta bawah 12 tahun bagi Pertandingan Ratu Cilik Budjang Manis dan Ratu Cilik Lallah Dorogan.
"Selain itu, satu lagi acara membabitkan peserta bawah 15 tahun ialah acara titik tagunggu," katanya.
Adam Shah berkata penglibatan peserta bawah umur ini bertujuan memberi pendedahan kepada generasi muda sebagai penyambung warisan identiti budaya Bajau.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan