SUNGAI PETANI, 5 Nov (Bernama) -- Lebih 3,000 pengunjung hadir pada program Komuniti @Stats Bersama Komuniti Mukim Merbok di Masjid Al-Busyra di sini, semalam.
Program anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Kedah dengan kerjasama pengurusan Masjid Al-Busyra diadakan sempena sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2023 dengan tema Statistik Nadi Kehidupan.
DOSM Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dirasmikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin itu turut bertujuan mempromosikan Banci Pertanian yang akan dilaksanakan pada tahun depan.
Menurut kenyataan itu untuk bancian tersebut orang ramai boleh melayari www.myagricensus.gov.my untuk maklumat lanjut.
Menurut DOSM penganjuran program itu juga bertujuan menjelaskan peranan jebatan itu sebagai agensi utama peneraju dalam membekalkan statistik rasmi negara serta memberikan pendedahan dan meningkatkan literasi statistik kepada masyarakat setempat.
DOSM juga telah melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.
Menurut kenyataan itu OpenDOSM NextGen ialah platform perkongisan data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
Program yang berlangsung selama sehari itu dimulakan dengan aktiviti Fun Run diikuti sesi perkongsian ilmu oleh Indah Water Konsortium (IWK) dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah, manakala sebelah malam pula diadakan aktiviti Merbok Berselawat.
Selain itu, turut diadakan pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, bazar makanan, Jualan Rahmah, aktiviti memanah dan berkuda, pertandingan mencari harta karun dan pertandingan mewarna.
Pengunjung yang hadir terdiri daripada komuniti Mukim Merbok di sekitar kariah Masjid Al Busyra, wakil agensi kerajaan Daerah Kuala Muda serta pengunjung masjid.
Majlis perasmian turut dihadiri Pengarah DOSM Kedah Nadia Marzuki dan Pengerusi merangkap Imam Masjid Al Busyra Ustaz Mohd Firdaus Mat Akhir.
Bersempena HSN yang disambut setiap 20 Okt, DOSM Kedah telah menjalankan pelbagai program dan aktiviti antaranya mendaki Darul Aman Hill; pameran DOSM Kedah di lobi Wisma Persekutuan Anak Bukit, UTC Sungai Petani dan Kompleks Tanjung Lembung, Langkawi; pertandingan futsal dan bola jaring; aktiviti ‘plogging’ di sekitar Taman Lagenda Langkawi dan program Literasi Statistik bersama warga Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM).
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan