AM

STESEN MINYAK PCS KEDUA MILIK KOPERASI DIBINA DI KAPIT

05/11/2023 07:11 PM

KAPIT, 5 Nov (Bernama) -- Sebuah stesen minyak berkonsepkan portable container system (PCS) atau kontena mudah alih  akan dibina di Simpang 4, Kampung Sawang, Jalan Lepong Balleh kira-kira lapan kilometer dari Pekan Kapit.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata projek yang diusahakan oleh Koperasi Sungai Kapit Berhad (KSKB) ini merupakan stesen minyak PCS kedua milik koperasi di Sarawak.

Stesen minyak PCS pertama terletak di kawasan Bau-Lundu yang diusahakan oleh Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad.

“Dengan pembukaan stesen minyak ini saya berharap ia bukan sahaja meningkatkan pendapatan koperasi tetapi juga turut memberi manfaat komuniti setempat khususnya penduduk di luar bandar untuk mendapatkan bekalan petrol dan diesel bagi menjana aktiviti ekonomi harian komuniti,’’ katanya.

Bercakap semasa majlis pecah tanah projek itu itu hari ini, Ewon berkata kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) dengan had pembiayaan sehingga RM30 juta dan tempoh pembiayaan maksimum 25 tahun.

Berdasarkan statistik SKM Cawangan Sarawak sehingga 31 Dis tahun lepas, terdapat 1,159 buah koperasi di Sarawak dengan keanggotaan sebanyak 310,125 orang, manakala nilai aset koperasi sebanyak RM647.5 juta dan perolehan melebihi RM392.6 juta.

Di Kapit pula, sebanyak 36 buah koperasi berdaftar dengan keanggotaan sebanyak 5,902 orang dan memiliki aset bernilai RM2.85 juta serta perolehan mencecah RM4.9 juta direkodkan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan