AM

Keluarga Pemangkin Kejayaan Graduan - Naib Canselor Klmuc

04/11/2023 06:38 PM

BANGI, 4 Nov (Bernama) -- Peranan keluarga sebagai pemangkin kejayaan dalam semua aspek kehidupan tidak dapat disangkal lagi serta menjadi tonggak kepada kecemerlangan siswazah.

Naib Canselor Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) Prof Dr Syed Helmy Syed Abu Bakar berkata pencapaian para graduan hari ini adalah hasil komitmen dan doa ibu bapa serta ahli keluarga yang mahu melihat kejayaan mereka. 

“Kejayaan para graduan adalah merupakan kejayaan ibu dan ayah serta kaum keluarga yang tidak pernah berhenti daripada memberikan sepenuh sokongan untuk memastikan cita-cita para graduan tercapai,” katanya dalam ucapan pembukaan Majlis Konvokesyen KLMUC ke-13 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen tersebut menyaksikan 621 graduan KLMUC menerima diploma, ijazah dan sarjana masing-masing.

Syed Helmy menasihatkan semua graduan KLMUC agar sentiasa menghormati ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menyokong mereka.

"Ia sangat penting untuk memastikan semua graduan kami memberi keutamaan kepada keluarga.

"Dokongan keluarga sangat penting dalam hidup kita. Kejayaan kita juga berpunca daripada sokongan keluarga dan hari ini kita meraikan ahli keluarga yang hadir dan menyaksikan kejayaan anda," katanya.

Graduan Sarjana Pengurusan Perniagaan, Nur Maahirah Abdul Raheem, 26, yang merangkul Anugerah Naib Canselor turut sependapat bahawa sokongan keluarga penting dalam menentukan kejayaan.

“Mak saya seorang ibu tunggal, ayah sudah tiada selama lapan tahun, selama ini dia besarkan saya dan dua kakak saya.

“Sokongan ibu saya selalu ada dan (berterusan) sehingga kini. Inilah rahsia kejayaan saya, tanpa keluarga saya tidak ada apa-apa,” katanya.

Nur Maahirah yang kini bekerja di Menara Maxis merancang untuk memajukan diri dengan kelayakan sarjana yang diperolehi dan bekerja dengan lebih baik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan