AM

Fahmi Minta Liberal International Keluarkan Nama Dan Logo Pkr

04/11/2023 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil telah berhubung dengan pihak Liberal International untuk meminta supaya nama dan logo PKR dikeluarkan daripada laman web organisasi itu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata buat masa ini, belum ada maklum balas daripada pihak berkenaan, dan beliau sekali lagi menegaskan PKR tidak pernah menjadi ahli kepada pertubuhan antarabangsa itu.

“Setakat ini belum ada (maklum balas) tetapi saya difahamkan mereka berpangkalan di London, jadi mungkin beza waktu, namun kita telah berhubung dan akan tunggu.

“Kita bukan ahli, kita tak pernah bayar apa-apa yuran keahlian kepada badan itu. Nama dan logo kita perlu dikeluarkan daripada laman web itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di sekitar Lembah Pantai, hari ini.

Fahmi berkata sejak beliau memegang jawatan dalam PKR pada 2013 termasuk sebagai Pengarah Komunikasi dan Ahli Biro Politik dalam Majlis Pimpinan Pusat, PKR tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan mengenai keanggotaan parti itu dalam Liberal International.

Secara lazimnya, beliau berkata apabila sesebuah badan menjadi ahli kepada mana-mana organisasi, mereka akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan sebagai syarat keanggotaan, namun PKR tidak pernah terlibat.

“Tidak boleh dinafikan pihak Liberal International pernah datang ke Malaysia dan pernah mengeluarkan sama ada ucapan tahniah atas kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR), pernah mengadakan aktiviti termasuk dengan sekarang Yang Berhormat Datuk Wan Saiful Wan Jan daripada Perikatan Nasional, dalam beberapa aktiviti sebelum ini.

“Dia merupakan badan yang berdaftar, mereka bebas untuk membuat sebarang aktiviti, dan kenyataan. 

“Tetapi PKR bukan sebahagian daripda Liberal International walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah hadir ke majlis atau program Liberal International atas jemputan, dan bukan sebagai ahli,” katanya.

Fahmi berkata Anwar juga pernah menjelaskan berkenaan perkara itu pada tahun 2020 selepas timbulnya dakwaan yang mengaitkan PKR dengan organisasi tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan