EKONOMI

Tenaga Buruh Berkemahiran Penting Untuk Sektor Automotif Malaysia

01/11/2023 02:53 AM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Kemahiran tenaga buruh automotif di negara ini wajar dipertingkatkan untuk menghadapi peralihan industri daripada enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada kenderaan elektrik (EV).

Pengarah Jualan Rakan Kongsi Dassault Systèmes Asia Pasifik Selatan, Simon Ng berkata peluasan serta keberkesanan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini memainkan peranan utama dalam meningkatkan industri automotif negara.

“Kerajaan Malaysia menggalakkan TVET tetapi latihan aliran teknikal di negara ini boleh diperkukuh lagi,' katanya dalam pembentangan mengenai penyediaan pengeluar peralatan asal (OEM), rantaian bekalan serta tenaga kerja automotif Malaysia untuk era EV di sini hari ini.

Dassault Systèmes, sebuah syarikat perisian multinasional Perancis, merancang untuk bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan pada masa hadapan bagi melaksanakan platform Berkembar Maya dalam TVET.

Ng menambah dengan melonjakkan kemahiran tenaga buruh sekarang serta masa depan dalam sektor automotif boleh membantu industri meningkatkan rantaian nilai, daripada pengeluaran kos rendah kepada inovasi bernilai tinggi.

Ini boleh membantu kerajaan mengembangkan nilai tambah pembuatan kepada RM583 juta menjelang 2030 seperti yang disasarkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (2030).

Semasa pembentangan tersebut, Ng mendedahkan bahawa lebih daripada 2,600 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah dijual di Malaysia pada 2022 berbanding hanya 274 unit pada 2021.

Sementara itu, Naib Presiden Dassault Systèmes Pengangkutan dan Mobiliti Asia, Guillaume Gerondeau berkata syarikat itu menyasarkan untuk menjadi sifar karbon menjelang 2040, dan berminat membantu industri automotif mengurangkan pelepasan karbon dalam segmen pembuatannya.

Platform maya perbadanan Dassault akan membolehkan industri mengira jumlah karbon yang digunakan dalam keseluruhan proses pengeluaran selain menyediakan mereka dengan penyelesaian yang lebih baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan