DUNIA

Wilayah Riau Indonesia Meterai Lol Dengan Institut Iium Untuk Perkukuh Industri Halal

30/10/2023 11:16 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan wilayah Riau pada Isnin menandatangani Surat Hasrat (Lol) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk meningkatkan dan memupuk sokongan sumber manusia dalam penyelidikan industri halal.

Dokumen itu ditandatangani di Pekanbaru oleh Gabenor H. Syamsuar dan timbalan dekan Institut Antarabangsa Penyelidikan dan Latihan Halal (INHART) Prof Madya Dr Noor Faizul Hadry Nordin.

INHART ditubuhkan di UIAM dengan misi mewujudkan platform yang menyokong visi kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab halal global dan menyumbang kepada inisiatif industri halal global.

Menurut Syamsuar, Lol antara kerajaan wilayah dan institut yang diiktiraf dan berpengalaman di peringkat antarabangsa itu bertujuan untuk memajukan industri halal wilayah berkenaan pada masa hadapan.

“Saya berharap INHART dapat memberi sokongan yang signifikan dari segi latihan dan penyelidikan secara kolaborasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dekan INHART Prof Azura Amid yang menghadiri acara itu secara maya, berkata komitmen kedua-dua pihak akan membuka potensi industri halal di kedua-dua negara, khususnya di wilayah Riau.

Beliau berkata perkongsian itu akan menyumbang kepada kemajuan industri halal dan dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan