AM

SUBSIDI AYAM TAMAT RABU, SUBSIDI TELUR DITERUSKAN - MOHAMAD

30/10/2023 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa Rabu ini (1 Nov), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata bagi subsidi telur gred A, B, C, kerajaan bersetuju untuk ia diteruskan mengikut mekanisme sedia ada.

“Ia (penamatan subsidi ayam) adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sejak Februari 2022.

“Rasional untuk penamatan subsidi secara pukal bagi ayam ini adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Mohamad berkata penamatan subsidi ayam itu selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini di bawah harga siling. 

Dalam hal itu, beliau berkata kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan itu terus berada pada kadar munasabah.

“Kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.

“Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Okt 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna,” katanya.

Mohamad berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab di peringkat runcit.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.

“Kerajaan akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Johan berkata dengan penamatan subsidi ayam itu kerajaan dapat menjimatkan belanja kira-kira RM100 juta sebulan.

Pada 13 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.

Beliau berkata pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

Anwar berkata langkah itu juga dilakukan bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan kaya memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan