KOTA BHARU, 26 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyediakan lima inisiatif di bawah Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) untuk merangsang pekebun kecil getah mengusahakan semula kebun yang tidak bertoreh.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda Ahmad Zainal Abdullah berkata inisiatif itu merangkumi Program Skim Getah Matang (SGM) peringkat pertama hingga kelima dengan keseluruhan bantuan sebanyak RM7,700 per hektar di semenanjung dan RM8,400 bagi Sabah dan Sarawak.
"Objektif utama skim ini diwujudkan adalah bagi memastikan peningkatan hasil pengeluaran getah pekebun kecil kepada sasaran 1,800 kilogram sehektar setahun dengan perolehan pendapatan lebih RM1,500 sebulan.
"SGM peringkat satu dan dua disediakan untuk memperkasa pengurusan ladang dengan teknologi terkini, manakala SGM peringkat ketiga hingga lima memberi insentif kepada pekebun kecil yang berjaya mencapai sasaran produktiviti yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Risda Negeri Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Risda Kelantan Maizal Hakiman Nawawi.
Ahmad Zainal berkata Risda turut memperkenalkan pakej SGM tanaman semula bagi mengaktifkan kebun getah tua yang tidak lagi memberi pulangan ekonomi dengan nilai bantuan sebanyak RM400 sehektar, selain bantuan tambahan melalui Skim Insentif Lateks (SIL) dan Insentif Harga Lateks (HIL).
Sementara itu Ahmad Zainal berkata Risda memperuntukkan sejumlah RM11.5 juta bagi program SGM di Kelantan membabitkan 9,000 pekebun kecil.
"Kita sarankan agar pekebun kecil mengambil peluang melalui bantuan yang disediakan ini dan kembali bergiat aktif mengusahakan semula kebun getah milik mereka yang terbiar," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Ahmad Zainal berkata lebih 40 peratus atau 30,000 daripada 74,000 pekebun kecil tidak mengusahakan kebun getah mereka di Kelantan.
Beliau berkata perkara itu melibatkan keluasan sebanyak 48,000 hektar daripada keseluruhan 120,000 hektar kawasan kebun getah negeri ini.
Katanya keadaan tersebut dipengaruhi pelbagai faktor termasuk harga pasaran getah yang mencabar, keadaan cuaca tidak menentu, serangan penyakit pokok getah selain kurangnya tenaga kerja dan pelapis muda yang mengusahakan komoditi itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial