JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA MAUT, SEORANG PARAH KEMALANGAN DI JALAN KUALA KUBU BHARU

26/10/2023 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Dua lelaki dan seorang wanita maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuala Kubu Bharu, Rawang berhampiran Serendah Golf Resort dekat sini kira-kira 11 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata berdasarkan dokumen pengenalan diri yang ditemukan di lokasi, mangsa yang maut ialah Rosihat Lemon, 68, Chan Kwai Hoong, 62, dan Soo Yoke Siew, 53.

Beliau berkata kemalangan itu membabitkan Perodua Axia dinaiki Chan dan Soo dengan Toyota Avanza dinaiki Rosihat bersama wanita yang cedera parah yang belum dikenal pasti identitinya.

"Kesemua mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat manakala penumpang wanita yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan itu pada 11.06 pagi.

Menurutnya 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu serta Rawang digegaskan ke lokasi kejadian manakala punca kemalangan sedang disiasat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan