AM

Terengganu Cadang Perkenal Permit Khas Kapal Karam Pulau Kapas

23/10/2023 05:14 PM

MARANG, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu bercadang memperkenalkan permit khas kepada penyelam skuba di lokasi kapal karam di Pulau Kapas dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata pelaksanaan permit itu bagi memantau aktiviti penyelam serta memelihara artifak yang ada di lokasi berkenaan.

Razali berkata turut dicadangkan, pengenalan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menghalang aktiviti penyeludupan keluar artifak dari pulau itu.

"Kita mungkin akan mengeluarkan permit khas seperti Pulau Bidong. Bukan nak susahkan pelancong, tetapi nak menjaga kepentingan artifak dalam laut.

"Kita akan sertakan dengan SOP mudah yang tak akan susahkan sesiapa dan juga kita tak nak caj apa-apa. Cuma kita nak jaga artifak daripada dicuri," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak kapal karam di Pulau Kapas hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan Galeri Arkeologi Maritim pada tahun depan bagi memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.

Menurut beliau, galeri berkenaan akan menempatkan pelbagai artifak kapal karam yang terdapat di tiga lokasi negeri ini iaitu Pulau Bidong, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol.

 "Usaha ini dijalankan supaya dapat memulihara warisan sejarah yang ada di dasar laut Terengganu bagi menarik kedatangan pelancong terutama peminat sejarah maritim dan arkeopelancongan bawah air dari seluruh dunia.

"Lokasi cadangan ialah di Taman Tamadun Islam (TTI) kerana kedudukannya yang strategik dan ia juga sudah terkenal sebagai lokasi pelancongan utama Terengganu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan