AM

Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Imbau Sejarah Lebih Tiga Dekad

21/10/2023 11:56 PM

PEKAN, 21 Okt (Bernama) -- Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja hari ini, 'mengimbau kembali' sejarah naik taraf daerah Pekan yang berlaku lebih tiga dekad lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata pada 3 Nov 1990, Seri Paduka telah berkenan menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Majlis Daerah Pekan (MDP). 

"Ketika itu Yang di-Pertuan Agong berangkat sebagai Yang Mulia Tengku Mahkota Pahang dan semasa itu, pemasyhuran itu menandakan kenaikan taraf Pekan daripada hanya sebuah Lembaga Bandaran Pekan (Town Board) kepada sebuah Majlis Daerah," katanya berucap pada majlis pemasyhuran itu di Majlis Perbandaran Pekan di sini.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka-paduka anakanda termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. 

Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan barisan pentadbiran negeri Pahang yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Selain itu, Mohammad Fakhruddin berkata naik taraf Majlis Perbandaran Pekan itu akan memberi impak kepada aspek tadbir urus dan pembangunan daerah berkenaan, yang dijangka terus membangun dalam 'watak' tersendiri sebagai Bandar Diraja yang sarat dengan nilai budaya dan sejarah. 

"Naik taraf ini juga akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang bakal dinikmati penduduk setempat seperti infrastruktur jalan raya, telekomunikasi dan pengangkutan, akan lebih dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa dan peningkatan jangkaan penduduk," katanya. 

Pada ucapannya, Mohammad Fakhruddin juga berkongsi beberapa pencapaian daerah Pekan, antaranya kejayaan meletakkan bandar Pekan sebagai bandar mampan untuk lima tahun berturut-turut bermula pada 2019. 

MDP juga diberi pengiktirafan bagi pencapaian terbaik Matlamat Pembangunan Mampan (SDG11) di bawah kategori Majlis Daerah pada 2021 serta mencapai taraf lima bintang sejak 2016 bagi sistem penarafan bintang pihak berkuasa tempatan. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan