KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Seramai 27 penuntut Kursus Komando Tentera Udara Malaysia (TUDM) Siri 30/23 (KKT Siri 30/23) dianugerahkan Beret Biru Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dalam Majlis Penutup Kursus Komando TUDM di Pantai Rantau Panjang, Kuala Rompin, Pahang, hari ini.
TUDM dalam kenyataan memaklumkan upacara penganugerahan berkenaan disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Beret biru yang merupakan lambang kemegahan Pasukan Khas TUDM dianugerahkan kepada seorang pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat TUDM selepas tamat menjalani latihan selama tiga bulan.
Menurut kenyataan itu, kursus berkenaan dimulakan dengan latihan prakursus selama sebulan bermula 25 Jun lepas yang disertai 53 penuntut di Pangkalan Udara Jugra.
Setelah tamat latihan, seramai 43 orang layak mengikuti KKT Siri 30/23 di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), Bukit Ibam, Kuala Rompin, bermula 24 Julai hingga 23 Okt di bawah tanggungjawab Pegawai Memerintah SLTT Lt Kol Raymond Radsung dan Ketua Jurulatih Mej Muhammad Fauzee Kamaruddin.
"Daripada 43 pelatih, hanya 27 sahaja yang berjaya menamatkan kursus. Pelatih Terbaik KKT Siri 30/23 telah dinobatkan kepada Lt Ameerul Danial Noridan yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategik dan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia,” menurut TUDM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial