AM

Uitm Melaka, Ngo Jalin Kerjasama Salur Dana Kepada Palestin

20/10/2023 09:47 PM

MELAKA, 20 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka menjalin usaha sama strategik bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengumpul dan menyalur dana sumbangan kepada rakyat Palestin.

Rektornya Prof Madya Dr Mohd Rasdi Zaini berkata universiti berkenaan menerusi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) menyasarkan kutipan RM10,000 untuk sumbangan awal bagi membantu dan mendukung perjuangan rakyat Palestin.

“Sasaran awal kita untuk berikan bantuan RM10,000 dan usaha ini akan terus digerakkan sekiranya mendapat komitmen daripada seluruh warga kampus yang terdiri daripada kakitangan pengurusan dan pelajar.

"Usaha ini dilakukan bersama NGO Cinta Gaza Malaysia, MyAqsa Defenders dan Suspended Meal Association Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Program For Palestine di universiti berkenaan.

Sementara itu, Ketua Misi Solidariti For Palestine yang juga Pensyarah Kanan FKPM Shafezah Abdul Wahab berkata umat Islam di negara ini perlu mengetepikan perbezaan terutamanya dari segi pegangan politik dan latar belakang bagi bersama mendukung perjuangan rakyat Palestin ketika ini.

Beliau berkata kesedaran dan sikap peduli terhadap konflik yang sedang berlaku itu perlu diterapkan dalam jiwa anak muda di peringkat universiti agar mereka tidak leka dan lalai dengan propaganda barat. 

"Kami akan melakukan apa yang wajar, walaupun dengan keupayaan terhad untuk membantu saudara kita di Palestin yang menderita," katanya. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan