EKONOMI

METROJAYA KE ARAH PENDIGITALAN PADA AWAL DIS 2023

19/10/2023 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) – Metrojaya Bhd akan melalui transformasi digital dan akan beroperasi pada awal Disember tahun ini dengan pasaran dalam taliannya selepas 40 tahun disokong melalui gedung fizikalnya.

Anak syarikat Malayan United Industries (MUI) itu bekerjasama dengan penyedia teknologi data, Fusionex untuk memperkenalkan pasaran dalam talian yang inovatif dan aplikasi kesetiaan yang menggabungkan teknologi terkini dengan pengalaman membeli-belah yang dipertingkatkan.

Pasaran dalam talian Metrojaya mewakili penumpuan analitik termaju Fusionex dan teknologi Al dengan legasi runcit Metrojaya. 

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MUI Andrew Khoo Boo Yeow berkata platform itu bertujuan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan melalui antara muka pengguna yang mudah digunakan, gerbang pembayaran yang selamat dan perkhidmatan penghantaran yang cekap untuk pembeli digital.

“Kami gembira untuk memperkenalkan laman web pasaran yang inovatif, yang beroperasi sebagai platform saluran omni.

“Perluasan kepada aliran perniagaan saluran omni mewakili gabungan yang kuat dan bersifat sinergi untuk fizikal dan digital, sekali gus memperkukuh kepelbagaian runcit (kami),” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani pasaran dalam talian dan aplikasi kesetiaan Metrojaya-Fusionex di sini hari ini.

Gedung fizikal semasa Metrojaya menempatkan ratusan jenama tempatan dan antarabangsa dengan butik mempamerkan jenama terkenal seperti East India Company, Somerset Bay, Cape Cod dan Living Quarters.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fusionex Datuk Seri Ivan Tan berkata Metrojaya akan memperkenalkan program kesetiaan yang eksklusif dalam fasa kedua kerjasama itu untuk melengkapkan pasaran dalam talian.

“Kerjasama kami didorong oleh teknologi moden, ekosistem yang dinamik dan kuasa manusia. Kami menyasarkan untuk membentuk semula cara pengguna mengalami pembelian dalam talian dan memperkasakan perniagaan untuk menerima pakai dan mengoptimumkan pengalaman digital,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan