KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) merancang untuk menjalankan "kajian separuh penggal" Rangka Tindakan Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Kebangsaan 2021-2030 tahun depan dan akan berkongsi kajian itu pada 2025.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yazid Ja'afar berkata memandangkan perkembangan dan trend-trend lain dalam industri Minyak & Gas dan Tenaga, terdapat keperluan untuk mengkaji Rangka Tindakan OGSE yang berusia tiga tahun bagi memastikan ia terus kekal relevan dan pragmatik dalam pendekatannya.
"Saya menyeru semua pihak berkepentingan dalam industri ini untuk terus bekerjasama antara satu sama lain dalam usaha merealisasikan potensi dan visi industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE)," katanya ketika berucap pada persidangan “National OGSE Roadshow 2023” di sini hari ini.
Mohd Yazid berkata ia adalah jalan yang panjang untuk mencapai tarikh akhir Rangka Tindakan OGSE 2030 dan MPRC perlu melaksanakan inisiatif yang bermakna yang menghasilkan perubahan atau impak yang ketara.
"Bagi tujuan itu, kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem OGSE untuk memastikan bahawa menjelang akhir garis masa pelaksanaan Rangka Tindakan OGSE, secara bersama, kita telah melakukan tugas yang perlu demi memastikan jangka hayat dan kemampanan industri OGSE Malaysia," katanya.
Ini katanya, amat penting di tengah-tengah peralihan tenaga, yang mana pemain-pemain OGSE perlu melakukan tindakan penting untuk mematuhi keperluan kemampanan dan model perniagaan baharu bagi memenuhi aspirasi rendah karbon negara.
Sehingga tahun ini, MPRC katanya telah melaksanakan sepenuhnya kesemua 31 inisiatif di bawah rangka tindakan termasuk di bawah skop Petronas, merangkumi kelulusan sebanyak RM12.9 juta dalam bentuk Geran Pembangunan OGSE (OGSE DG) kepada 54 syarikat OGSE.
OGSE DG ialah geran padanan sehingga RM250,000 yang ditawarkan kepada syarikat OGSE yang layak untuk menerima pakai inovasi dan teknologi serta mengembangkan eksport.
"Inisiatif lain yang saya ingin ketengahkan ialah pelancaran program kita iaitu Pengiktirafan Pembelajaran Melalui Pengalaman (RPEL) pada tahun ini, yang mana kira-kira 115 individu kini sedang dilatih semula dan diperakui untuk melakukan kimpalan bawah air dan memeriksa kimpalan.
"Bekerjasama dengan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kemaman dan Shah Alam serta Sarawak Skills untuk menawarkan program ini kepada pekerja-pekerja OGSE, kita berharap program itu akan membantu menangani kekurangan bakat industri di samping meningkatkan kebolehpasaran pekerja mahir," katanya.
Mengenai sumbangan daripada rakan kongsi rangka tindakan, Mohd Yazid antara lain berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia telah memudahkan promosi eksport untuk 164 syarikat OGSE, memberikan mereka akses kepada potensi jualan melebihi RM2 bilion.
"Satu lagi inisiatif oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, iaitu lapan syarikat OGSE telah menerima kemudahan fiskal antara 2021 dan 2023, manakala lapan lagi syarikat multinasional telah diluluskan untuk projek baharu atau pengembangan OGSE di Malaysia.
“Unit Peneraju Agenda Bumiputera, rakan kongsi rangka tindakan kita telah menyediakan geran RM25 juta kepada lebih 20 syarikat OGSE melalui Dana Kemakmuran Bumiputera, yang memangkinkan unjuran RM250 juta dalam pelaburan,” tambahnya.
Dianjurkan oleh MPRC, sebuah agensi Kementerian Ekonomi yang ditugaskan untuk membangunkan industri OGSE Malaysia, persidangan itu akan berkongsi pelaksanaan dan kemajuan rangka tindakan tersebut.
Rangka Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang dilancarkan pada April 2021 bertujuan untuk menyediakan hala tuju kepada syarikat-syarikat OGSE bagi meningkatkan daya saing, kecekapan dan keupayaan teknologi mereka, serta menambah baik kekuatan kewangan industri OGSE melalui kepelbagaian ke dalam sektor penting.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial