KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) akan ditingkatkan kepada RM200 juta pada tahun depan berbanding RM150 juta tahun ini sebagai menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan dan melindungi hidupan liar terancam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini berkata bilangan renjer komuniti juga akan ditambah kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan kekal.
Katanya penambahan ini penting kerana kehadiran renjer komuniti telah berjaya membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar di kawasan berkenaan.
“Sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), orang Asli dan komuniti setempat, katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengumumkan sejumlah RM10 juta disediakan pada tahun depan bagi membantu meringankan beban kerugian rakyat yang terlibat dengan konflik hidupan liar.
Ini kerana katanya dalam tempoh 2018 hingga 2022, lebih 46,000 aduan telah dilaporkan berhubung konflik hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir yang merosakkan harta benda dan tanaman pertanian, dengan anggaran nilai kerugian RM43 juta.
"Selain itu, kerajaan persekutuan akan mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti sehingga RM1 bilion yang melibatkan penanaman semula hutan terosot yang akan menjanakan kredit karbon.
"Inisiatif penanaman semula ini akan diusahasamakan dengan kerajaan negeri yang berminat dan bakal memanfaatkan sebahagian daripada kredit karbon yang dijanakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial