AM

KEMENTERIAN LUAR DALAM PROSES EVAKUASI WARGA MALAYSIA DI TEBING BARAT - ZAMBRY

12/10/2023 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kementerian Luar kini dalam proses evakuasi bagi mengeluarkan seorang wanita rakyat Malaysia dari Tebing Barat susulan pertempuran antara Israel dan Palestin sejak 7 Okt lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata wanita itu yang dikenali sebagai Dr Nurul Ain Latif dari Kota Bharu, Kelantan telah berkahwin dengan seorang warga Palestin, dan dia dilaporkan berada di tempat yang selamat.

“Kita sedang berusaha untuk melakukan proses evakuasi buat Dr Nurul Ain, dan hingga kini kita mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina bagi mengeluarkan keluarga ini bersama-sama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan itu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang ingin tahu bantuan yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan warga Malaysia, terutama yang berada di Tebing Barat susulan konflik yang berlaku.

Selain Dr Nurul Ain, beliau berkata terdapat seorang ibu dan tiga anak yang merupakan pemegang pasport Malaysia, dilaporkan berada di kawasan konflik.

Semalam, Wisma Putra dalam kenyataan, mengesahkan lima rakyat Malaysia, iaitu seorang wanita dan seorang ibu bersama tiga anaknya berada di Tebing Barat ketika ini, dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan sentiasa berhubung dengan mereka.

Zambry berkata kerajaan Malaysia amat prihatin dan gusar akan pertempuran itu yang mengorbankan ribuan nyawa sementara bilangan kecederaan pula meningkat mendadak, selain keperitan rakyat Palestin di Gaza yang kini terpaksa berdepan sekatan bekalan air, elektrik dan makanan oleh rejim Zionis.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan Malaysia terhadap sikap berat sebelah pihak barat yang sebelum ini sepantas kilat mengambil tindakan dan membantu Kiev mempertahankan diri daripada pencerobohan Moscow, namun meminggirkan rakyat Palestin tanpa sebarang pembelaan dan keadilan.

Malah, kata beliau, perkara itu adalah menyimpang daripada prinsip kemanusiaan sejagat dan undang-undang antarabangsa.

Sementara itu, Zambry berkata kerajaan Malaysia akan menyampaikan sumbangan awal RM1 juta daripada dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi meringankan beban rakyat Palestin yang terjejas susulan konflik itu. 

Beliau berkata bantuan itu akan disampaikan bagi pihak rakyat negara ini kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali di lobi Parlimen hari ini.

“Sebagai permulaan, rakyat Malaysia yang ingin mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin, sumbangan ini boleh disalurkan melalui akaun AAKRP yang dikendalikan Kementerian Luar. 

“Sebagai menunjukkan komitmen daripada pelbagai pihak di Malaysia, kita mula menerima pelbagai tawaran dan hasrat khususnya daripada pertubuhan sivil dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk menyampaikan bantuan ini kepada rakyat Palestin,” katanya. 

Beliau berkata Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan antarabangsa agar menyalurkan bantuan seperti bekalan asas dan perubatan, memandangkan rejim Israel tidak berhak menyekat bantuan kemanusiaan.

Pertempuran terkini di Palestin membabitkan Hamas, iaitu pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa di kedua-dua belah pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan