DUNIA

India Lakukan Penerbangan Khas Pindah Warganya Dari Israel

12/10/2023 10:35 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 12 Okt (Bernama) -- India melancarkan penerbangan khas untuk memindahkan beribu-ribu rakyatnya dari Israel susulan pengeboman Israel ke atas Gaza yang berisiko mewujudkan konflik serantau lebih meluas.

"Penerbangan sewa khas dan pengurusan lain sedang dilaksanakan. Sepenuhnya komited terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat kita di luar negara," kata Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar menerusi catatan media sosial pada Rabu malam.

Kedutaan India di Tel Aviv berkata pihaknya telah memaklumkan kumpulan pertama warga India untuk mengambil penerbangan khas pada Khamis.

"Pesanan kepada warga lain yang berdaftar akan menyusul untuk penerbangan berikutnya," katanya.

Terdapat kira-kira 18,000 warga India yang tinggal di Israel, menurut data kerajaan India.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai pengasuh tetapi sebahagian besar termasuk pelajar, peniaga berlian dan profesional.

Air India dan beberapa syarikat penerbangan lain telah membatalkan penerbangan ke Tel Aviv berikutan pertempuran minggu lalu antara pejuang Palestin dan tentera Israel menyebabkan warga asing terperangkap di Israel.

Israel telah melakukan pengeboman di Semenanjung Gaza selain daripada menafikan penduduk di Gaza bekalan air, elektrik dan makanan.

Tentera Israel telah membunuh lebih 1,100 rakyat Palestin, termasuk seluruh keluarga dan ratusan kanak-kanak yang tertimbus di bawah bangunan yang musnah dan mencederakan 5,300 orang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan