Oleh Arthur Edward
TUARAN, 7 Okt (Bernama) -- Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Taman Rugading di sini berjaya memperkasakan 200 usahawan kecil yang kini aktif membekalkan produk makanan ke seluruh negara melalui platform digital.
Pengurus PEDi Projek Perumahan Rakyat Rugading Azlee Okee berkata sejak ditubuhkan tujuh tahun lepas, lebih 1,400 ahli persatuan Usahawan Digital Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya dari daerah Tuaran telah berdaftar dengan PEDi Rugading.
"Sehingga hari ini kita berjaya melahirkan dan memperkasakan kira-kira 200 usahawan IKS yang kini kita boleh lihat produk mereka ada dijual di mana-mana termasuk platform digital e-dagang.
"Oleh itu saya berharap akan lebih ramai lagi usahawan IKS yang akan mengikuti jejak mereka kerana melalui PEDi kita akan turut membantu kerajaan dalam usaha memastikan sifar kemiskinan di negara ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PEDi berkenaan baru-baru ini.
Azlee berkata usahawan yang berjaya sudah semestinya dapat mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus mampu membantu golongan pencari kerja di negeri ini.
Beliau berkata kewujudan PEDi dapat melahirkan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
"PEDi akan menyediakan latihan komprehensif untuk golongan usahawan IKS. Peranan PEDi amat penting dalam membantu usahawan mempelajari berkenaan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk mempromosikan produk-produk yang dihasilkan.
“Para usahawan didedahkan dan diajar berkaitan dengan kaedah penjualan secara dalam talian melalui platform sedia ada, latihan e-dagang dan kaedah menguruskan bayaran dalam talian.
Pengusaha sambal terung pipit, Salwina Hanal, 43, berkata tanpa PEDi perniagaannya yang bermula pada 2017 tidak akan ke mana-mana.
“Ketika itu saya hanya menjual di tangga rumah dan kadang kala di tepi jalan. Namun dengan adanya program kerajaan iaitu PEDi, saya mula dapat bernafas kerana dapat mempelajari pelbagai ilmu khususnya dalam e-dagang.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita mula menyedari bahawa menjual produk dalam talian sangat penting dan ia adalah satu-satunya cara memasarkan produk kita pada masa itu.
“Saya bertuah kerana dapat ilmu daripada PEDi dan PKP tidak memberi kesan yang amat buruk kepada saya,” kata wanita itu, pemilik syarikat Mahkota Puteri Enterprise.
Salwina berkata produknya kini boleh didapati di pasar raya termasuk di kebanyakan kedai stesen minyak Petronas di Sabah serta di platfrom e-dagang seperti Shopee.
Sementara itu, Roslizah Suadin, 50, usahawan produk makanan dan minuman berkata beliau mula menyertai PEDi pada tahun lepas selepas berjumpa dengan Azlee.
“Saya datang ke PEDi dan saya telah diberi penerangan apa peranan PEDi untuk membantu usahawan. Sejak itu saya banyak mengikuti kursus yang dijalankan oleh PEDi seperti kursus membuat rancangan kertas kerja perniagaan, selain kursus e-dagang.
“Setelah banyak belajar ilmu keusahawanan digital daripada PEDi, syukur saya telah dihubungi oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah sebagai seorang penerima geran mesin dan peralatan,” katanya.
Roslizah berkata beliau kini telah berjaya membuka sebuah premis dan permintaan pelanggan terhadap produknya sangat menggalakkan.
“Tempahan meningkat apabila musim perayaan seperti hari raya, Krismas atau majlis perkahwinan,” katanya.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan