AM

Agensi Kerajaan Perlu Rancangan Teliti, Siap Siaga Hadapi Banjir Di Pantai Timur - Fadillah

10/10/2023 10:24 AM

KOTA BHARU, 10 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan semua agensi kerajaan melakukan perancangan teliti dan siap siaga, bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Pantai Timur.

Beliau berkata perkara itu susulan MTL akan menyebabkan berlakunya bencana banjir di Pantai Timur, khususnya negeri Kelantan.

“Pastikan kita bersiap siaga bukan sahaja pasukan keselamatan, tetapi semua agensi terlibat.

“Pertama kalau berlaku banjir di mana pusat pemindahan sementara (PPS), apakah bantuan yang perlu disediakan, termasuklah kemudahan pengangkutan untuk mengangkat dan memindahkan orang dari tempat banjir ke PPS, makanan dan semua logistik itu perlu siap siaga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (PPNK ICU JPM) Jasri Kasim.

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah berkata penekanan harus diberikan kepada perancangan persediaan dalam menghadapi musim bencana yang mendatang.

Beliau berkata keselamatan serta kebajikan mangsa perlu dititik beratkan selain kesiapsiagaan semua agensi, khususnya pemberi bantuan dalam menguruskan sumber dan logistik.

Fadillah berkata semua jabatan dan agensi, perlu memberikan sepenuh sokongan kepada agensi yang terlibat secara langsung seperti Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain pasukan keselamatan yang terlibat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan