KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Usaha gigih tanpa mengenal putus asa selama sembilan bulan menjalani latihan akhirnya berbaloi buat tiga pegawai kadet ini apabila mereka dinobatkan sebagai pelatih terbaik pada majlis Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2023 di sini hari ini.
Lt Muda Nur Aisyah Yaacob, yang dinobatkan sebagai pegawai kadet terbaik bagi perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), berkata pelbagai cabaran dilalui sepanjang latihan ditambah pula dengan ketiadaan pengalaman membabitkan unit beruniform ketika zaman persekolahan.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata ketika dalam latihan tiada perbezaan antara lelaki dan wanita kerana semua perlu menjalani latihan yang sama.
“Pada tiga bulan pertama latihan, saya terpaksa berkerja keras dan cuba menyesuaikan diri dengan latihan...saya suka dengan aktiviti lasak dan bersukan, jadi saya gunakan kelebihan itu sepanjang dalam latihan.
“Sokongan ketua pasukan, keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya terus kuat serta berusaha memberikan yang terbaik bagi menamatkan latihan, selain disiplin juga amat penting,” katanya kepada Bernama selepas istiadat perbarisan pentauliahan berkenaan di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Nur Aisyah, 27, yang merupakan lulusan dalam bidang kejuruteraan dari Universiti Tenaga Nasional, mengakui tidak pernah bercita-cita untuk menyertai ATM, namun sifatnya yang gemarkan aktiviti lasak mendorong beliau menyertai pasukan itu.
Pegawai kadet terbaik bagi perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lt Muda Muhammad Danish Haiqal Abdul Nasir​, 24, pula berkata keluarga menjadi inspirasi untuk beliau menyertai ATM.
“Kejayaan hari ini adalah berkat doa keluarga dan rakan-rakan, mereka menjadi sumber semangat kepada saya untuk terus berjaya,” katanya yang akan meneruskan kursus di Kapal Diraja Sultan Idris Pertama di Perak.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata beliau berminat menyertai ATM selepas melihat bapa saudaranya segak mengenakan pakaian pasukan itu, sekali gus membakar semangatnya untuk menabur bakti kepada negara.
Bagi Lt Muda Muhammad Saddiq Hussaini Rasidi, 27, yang dinobatkan pegawai kadet terbaik bagi perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), berkata ketua pasukannya banyak memberi sokongan dan menunjukkan sikap kepimpinan yang wajar dicontohi.
“Sikap kepimpinan ketua pasukan membakar semangat saya untuk menjadi pegawai kadet terbaik dan keutamaan sekarang adalah memberi yang terbaik dalam perkhidmatan,” katanya.
Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM hari ini disempurnakan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, dengan 221 Pegawai Kadet Graduan Tentera Darat Malaysia (TDM), 46 Pegawai Kadet Graduan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 58 Pegawai Kadet Graduan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditauliahkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial