Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 5 Okt (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn melawat Taman Botani Negara Shah Alam di Selangor pada Khamis, di mana aktiviti pertanian Malaysia dipamerkan dengan indah dalam suasana semula jadi.
Dibuka pada 1986, taman seluas 200 hektar itu telah dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan negara dalam pendidikan, penyelidikan saintifik dan pemuliharaan untuk pembangunan botani, hortikultur dan pertanian.
Lawatan Dr. Kao termasuk ke pelbagai tapak dalam habitat flora dan fauna yang berfungsi sebagai platform untuk menonjolkan inisiatif Malaysia dalam memajukan pemuliharaan alam sekitar melalui aplikasi teknologi.
Beliau diiringi Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF), delegasi dan rakan pembangunan yang kini berada di Malaysia untuk menghadiri mesyuarat AMAF ke-45.
Lawatan teknikal itu dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Datuk Seri Mohamad Sabu.
Semasa lawatan itu, Dr. Kao juga secara aktif mengambil bahagian dalam aktiviti seperti menanam herba dan pokok, melepaskan ikan dan memerhatikan penggunaan dron untuk amalan pertanian, menurut Sekretariat ASEAN.
Mesyuarat AMAF merupakan perhimpunan tahunan yang membincangkan isu berkaitan dengan keselamatan makanan, akses pasaran, produktiviti pertanian dan kelestarian di rantau ini.
Pada Rabu, beliau menyampaikan ucapan alu-aluan pada pelancaran ASEAN-Consultative Group on International Agricultural Research (CGIAR) Innovate for Food Regional Programme (IFRP).
IFRP ini sejajar dengan objektif ASEAN untuk meningkatkan produktiviti pertanian, mengurangkan kerugian dan pembaziran makanan serta memperkukuh ketahanan sistem pertanian melalui penyelidikan, teknologi, dan inovasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial