AM

Icu Jpm Kesan Tujuh Projek Sakit Di Kelantan Bawah Rmk12

04/10/2023 12:26 AM

KOTA BHARU, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesan tujuh projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dikategorikan sebagai 'projek sakit' di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Jasri Kasim berkata dua daripada projek itu ialah Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa Satu yang didapati mengalami kelewatan 193 hari, manakala PLSB Sungai Golok pula mengalami kelewatan 177 hari.

“Sepatutnya PLSB di Sungai Kelantan sudah disiapkan sebanyak 98.1 peratus pada bulan ini, namun kemajuannya baru mencapai 92.7 peratus.

“PLSB di Sungai Golok pula mengalami kelewatan kerana pelbagai masalah termasuk melibatkan isu pengambilan tanah,” katanya kepada pemberita selepas Program Sesi Taklimat Pejabat Pembangunan ICU JPM Bersama Media di sini hari ini. 

Beliau berkata projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa juga dikategorikan sebagai projek sakit setelah mengalami kelewatan 168 hari.

Jasri berkata projek sakit  lain di Kelantan ialah penggantian jambatan Sungai Durian di Kuala Krai dan menaik taraf infrastruktur Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kampus Kesihatan di Kubang Kerian.

"Pembinaan jambatan antara Kampung Pasir Era ke Pasir Kelang dan pembinaan dewan serba guna di Sekolah Menengah Kebangsaan Cherang Ruku, Pasir Puteh turut mengalami kelewatan," katanya. 

Dalam pad itu, menurutnya 101 projek di Kelantan yang diluluskan menerusi RMK12 sudah siap sepenuhnya, manakala 164 projek lagi dijangka akan bermula. 

Katanya kesemua projek berkenaan adalah sebahagian daripada 447 projek pembangunan di Kelantan yang telah diluluskan pada RMK12 dengan peruntukan lebih RM2.57 bilion termasuk projek lebuh raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dulunya dikenali Central Spine Road (CSR) laluan Kota Bharu-Gua Musang. 

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan