KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Sunway Velocity Mall merangkul dua anugerah emas pada Majlis Pusat Beli-Belah Antarabangsa (ICSC) MAXI Awards di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), yang merupakan kejayaan besar diraih pusat beli-belah tempatan di pentas global.
Pusat beli-belah itu memenangi emas bagi perayaan Tahun Baharu Cina 2022 '100 Blessings' di bawah kategori Komuniti Kecemerlangan Pemasaran dan satu lagi anugerah emas untuk Konsert Ambang Tahun Baharu 2023 di bawah kategori Pengalaman Kecemerlangan Pemasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunway Malls and Theme Parks, HC Chan berkata kejayaan kumpulan itu di peringkat antarabangsa adalah bukti bagaimana pusat beli-belah Malaysia dalam tempoh yang singkat daripada pemain domestik diiktiraf sebagai pemain global.
"Malaysia boleh berbangga industri pusat beli-belahnya diiktiraf di peringkat global sebagai antara industri yang lebih progresif, bertenaga dan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kempen "100 Blessings" merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi menyalurkan bantuan kepada 100 keluarga yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 manakala Konsert Ambang Tahun Baharu merupakan kempen berkaitan pengalaman menyambut tahun baharu.
Pengurus Besar Kanan Sunway Velocity Mall, Phang Sau Lian berkata kejayaan dan pengiktirafan kempen itu merupakan satu pencapaian usaha berterusan mereka dalam membantu dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Sambutan Ambang Tahun Baharu terbukti mencabar kerana berdekatan dengan pusat beli-belah, serta terdapat tiga lagi penganjuran majlis ambang.
"Melalui strategi pembezaan unik yang merangkumi kemasukan percuma, persembahan secara langsung dan sesi temu mesra dengan artis tempatan, permainan karnival, lorong trak makanan dan bazar beli-belah yang diperbesarkan, kami berjaya menarik lebih ramai pengunjung iaitu 100,000 berbanding 78,000 orang semasa ambang prapandemik,” katanya.
Sunway Velocity Mall merupakan penerima anugerah tunggal Malaysia pada majlis anugerah itu yang menyaksikan penyertaan 100 finalis seluruh dunia seperti Kanada, United Kingdom, Denmark, AS dan China.
MAXI Awards mengiktiraf penganjuran acara, program dan teknologi inovatif yang menambah nilai kepada industri pusat beli-belah. Ia meliputi kempen pemasaran yang digunakan pada 2022 dan 2023.
Sebelum ini, kempen '100 Blessings' turut memenangi anugerah tertinggi di peringkat kebangsaan apabila pusat beli-belah itu merangkul Anugerah Platinum, majlis Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) untuk Pemasaran Pengalaman Terbaik 2020-2022.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan