EKONOMI

Straits Energy Cadang Senarai Segmen Perniagaan Perkapalan Dan Pengisian Bahan Api Di Nasdaq

02/10/2023 09:07 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Straits Energy Resources Bhd bercadang untuk menyenaraikan segmen perkhidmatan berkaitan perkapalan dan pengisian bahan apinya di bursa saham Nasdaq menerusi tawaran sekuriti awam. 

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia merancang untuk melaksanakan penyusunan semula beberapa anak syarikatnya yang terlibat dalam segmen perkhidmatan berkaitan perkapalan dan pengisian bahan api untuk membentuk satu kumpulan penyenaraian berasingan (Spin-off Group) yang sesuai bagi penyenaraian. 

“Syarikat-syarikat ini yang akan digabungkan dalam Spin-off Group itu akan terus kekal sebagai anak syarikat Straits setelah cadangan penyenaraian itu selesai,” katanya.

Straits Energy berkata satu pengumuman terperinci berkaitan dengan perkara itu akan dibuat apabila tiba masanya, apabila lembaga pengarah telah memuktamadkan dan meluluskan terma dan struktur cadangan penyenaraian itu.

Menurutnya, penyenaraian itu akan meningkatkan lagi reputasi dan profil korporat syarikat tersebut yang akan membantu menambah jumlah pelanggan selain membolehkan ia mengembang kehadiran globalnya.

Cadangan penyenaraian itu juga akan membolehkan Spin-Off Group mendapat akses ke pasaran modal di Amerika Syarikat bagi pengumpulan modal dan menyediakan fleksibiliti kewangannya bagi pengembangan dan pertumbuhan masa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan