SUKAN

Russel Alexander Gagal Ke Final

01/10/2023 11:44 PM

Daripada R. Vikneswaran

HANGZHOU, 1 Okt (Bernama) -- Pelari pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib gagal ke final acara 200 meter (m) Sukan Asia Hangzhou 2022 selepas mencatatkan masa yang lebih perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya pada saingan separuh akhir, di sini, hari ini.

Dalam perlumbaan saringan pertama peringkat suku akhir di Stadium Olimpik Hangzhou, pemegang rekod kebangsaan 2019 dengan 20.77 saat (s) itu hanya mampu merakamkan masa 21.53s untuk menduduki  tempat terakhir. 

Aksi separuh akhir itu dimenangi pelari dari Arab Saudi,  Mohamed Abdullah Abkar dengan masa terbaiknya musim ini iaitu 20.59s manakala tempat kedua dimiliki pelari Bahrain, Saeed Saad Aljhaldi (20.61s) dan tempat ketiga disandang Yang Chun-Han dari Taiwan dengan catatan 20.67s.

Hanya lapan perlari terpantas daripada 16 saringan peringkat separuh akhir layak ke final manakala keseluruhan Russel menduduki tempat ke-14.

Pelari terakhir yang layak ke final ialah pelari dari India, Amlan Borgohain dengan catatan masa 21.03s.

“Saya rasa hebat ketika sesi latihan sejak beberapa minggu lalu tetapi malangnya, malam ini, ia tidak berlaku seperti dijangkakan.

"Saya tahu jika saya berusaha dengan sebaik mungkin dapat layak ke peringkat akhir tetapi tidak berlaku seperti yang diidamkan. Layak ke separuh akhir merupakan satu sagu hati yang kecil,”kata pelari kelahiran Australia yang kini berpangkalan di United Kingdom kepada pemberita selepas perlumbaan itu.

Russel, yang layak ke saingan separuh akhir selepas mencatatkan masa 21.31s pada pusingan pertama, akan beraksi bersama-sama kuartet 4x100m, esok.

Sementara itu, dalam acara final lempar cakera wanita, pemegang rekod kebangsaan negara (52.77 meter (m)), Queenie Ting Kung Ni turut memperagakan aksi hambar.

Atlet berusia 25 tahun dari Sarawak, menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dari lapan peserta dengan balingan 49m.

Juara dunia 2022, Feng Bin dari China  mencipta rekod baharu temasya untuk merangkul emas dengan catatan 67.93m manakala rakan senegara Jiang Zhichao meraih pingat perak dengan balingan 61.04m dan pingat gangsa menjadi milik atlet India, Seema Punia dengan catatan 58.62m.

Semalam, kem olahraga negara menyumbang dua pingat gangsa menerusi pelari pecut negara,  Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam acara 100m lelaki dan Shereen Samson Vallabouy (400m wanita).

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan