NABAWAN, 30 Sept (Bernama) -- Program Kembara Sains Borneo (KSB) Siri 2 2023 di Sabah mendapat sambutan hangat dan menggalakan, sekali gus merealisasi usaha membudayakan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) khususnya di kawasan luar bandar negeri ini.
Pengarah Pusat Sains Negara (PSN) Mismah Jimbun berkata KSB yang berlangsung sejak 15 Sept lepas dan akan berakhir esok, menjelajah ke tiga daerah iaitu bermula di Kimanis, Kalabakan dan berakhir di Nabawan.
“KSB merupakan satu Program pembudayaan STI yang dilaksanakan dalam bentuk jelajah selama 21 hari melibatkan tiga program utama di setiap lokasi dan empat program sampingan di sekolah-sekolah terpilih.
“Pada dasarnya, KSB ini diperkenalkan untuk mendekati pelajar luar bandar secara terus bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui kaedah pembelajaran interaktif melalui aktiviti-aktiviti yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Kembara Sains Borneo Siri 2 2023 di sini hari ini yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup.
Mengulas lanjut Mismah berharap agar KSB dapat memberikan pengalaman sesebuah pusat sains kepada komuniti di sekitar lokasi program.
“Program ini juga merupakan destinasi didik hibur yang bermanfaat bersama keluarga, selain memberi manfaat dan impak yang besar dalam meyemarakkan lagi semangat pelajar untuk meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga PSN, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Daerah Nabawan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan semua rakan-rakan strategik atas sokongan padu bagi menjayakan program Kembara Sains Borneo ini,” katanya.
Sementara itu, Arthur berkata KSB menerima sambutan yang amat menggalakkan dari masyarakat Sabah dengan mencatatkan bilangan pengunjung melebihi sasaran yang telah ditetapkan.
“Seramai 19,408 komuniti telah terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dibawakan dalam KSB di Kimanis dan Kalabakan termasuklah aktiviti-aktiviti sampingan yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah sekitar.
“KSB di Pensiangan ini yang diadakan bermula semalam telah merekodkan sejumlah 3,000 pengunjung pada hari pertama, menjadikan jumlah keseluruhan 22,408 pengunjung. Jumlah ini telah berjaya melepasi sasaran 10,000 pengunjung yang kita tetapkan,” katanya.
Beliau juga yakin dengan data-data dan maklum balas yang diterima daripada para pengunjung, program jangkau luar seperti KSB dapat dipertimbangkan sebagai program berkala yang wajar dilaksanakan bagi memastikan aspek pembudayaan STI dilaksanakan secara menyeluruh.
“Program jangkau luar pembudayaan STI dapat membantu negara melahirkan modal insan yang mencukupi dalam bidang ini bagi menampung permintaan dalam industri berasaskan teknologi yang menawarkan pelbagai potensi ekonomi serta peluang-peluang pekerjaan dengan menawarkan gaji lumayan,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial