KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Menjelang pembentangan Belanjawan 2024 Oktober ini, pakar dan aktivis alam sekitar menggesa kerajaan supaya mengutamakan inisiatif pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar dengan menyediakan peruntukan untuk aktiviti pendidikan, kesedaran, kajian dan seminar.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) Prof Dr Ahmad Ismail berkata peruntukan tambahan diperlukan untuk kajian, pendidikan dan program kesedaran serta pemantauan habitat hidupan liar dijalankan.
“Kerajaan perlu mengadakan peruntukan penyelidikan berkaitan hidupan liar utama negara seperti harimau, gajah, tapir, beruang, burung enggang dan habitat mereka.
“Hasil daripada penyelidikan ini perlu dikongsikan melalui aktiviti seminar dan persidangan untuk perkongsian maklumat terkini terutamanya tentang kawasan perlindungan seperti Taman Negara, Tapak UNESCO dan ekosistem laut yang dilindungi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga perlu memberikan perhatian khusus terhadap isu perubahan iklim serta kehilangan kepelbagaian biologi.
“Perubahan iklim menyebabkan bukan sahaja kejadian banjir, kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa, tetapi juga kehilangan kepelbagaian biologi. Malaysia berada di tangga ke-12 teratas di dunia dari segi kepelbagaian biologi, (justeru) isu ini mesti diberikan perhatian.
“(Selain itu) Pemuliharaan harimau juga perlu diberikan perhatian dengan peruntukan kewangan diperlukan untuk kajian, pemantauan dan insentif habitat harimau. Harimau adalah haiwan pemangsa utama dan sekiranya dipulihara, secara langsung haiwan lain dalam ekosistem akan stabil,” katanya.
Pengasas Bersama dan Naib Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan MareCet Fairul Izmal Jamal Hisne pula berharap agar belanjawan kali ini akan turut memberi perhatian kepada isu alam sekitar marin seperti pencemaran laut.
“Belanjawan sebelum ini memang ada peruntukan untuk sektor alam sekitar, tapi ia lebih kepada alam sekitar darat seperti hutan, sedangkan hidupan laut macam dipinggirkan. Jadi mungkin untuk belanjawan kali ini, kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meningkatkan keluasan kawasan perlindungan marin di negara kita,” katanya.
Pendapatnya itu disokong Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman yang berkata agenda pembangunan negara perlu diseimbangkan dengan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini peruntukan ke arah pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar dilihat semakin berkurangan.
“Kita tidak halang pembangunan, cuma biarlah ia seimbang dan seiring dengan bajet untuk menguruskan alam sekitar juga dan ini termasuk dari segi keindahan persekitaran perlu diambil kira juga. Di Malaysia infrastruktur di taman-taman eko rimba baik, tetapi dari segi penyelenggaraan itu gagal, kecuali di Putrajaya.
“Penyelenggaraan di kawasan itu elok, namun tempat lain memang gagal. Itu masalah juga. Seolah-olah tiada komitmen daripada pihak berkuasa tempatan untuk menjaga infrastruktur yang ada di taman rimba,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial